MalaysiaPilihan Editor

PRN6: Tok Mat, Sanusi, Anthony Loke Dicabar Dalam Saingan Satu Lawan Satu

Pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri menyaksikan beberapa nama besar dalam arena politik negara berdepan saingan satu lawan satu.

Selain mempertahankan kerusi disandang, ada dalam kalangan nama besar ini turut mencabar penyandang untuk merebut kerusi dalam usaha mengukuhkan penguasaan parti atau gabungan yang diwakili.

Antaranya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sekali lagi bertanding di kubu kuat beliau iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan.

Beliau dicabar Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau, Rozmal Malakan, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Selain DUN Rantau, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyandang kerusi Parlimen Rembau.

Di Negeri Sembilan juga, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, turut berdepan saingan satu lawan satu di kerusi DUN Chennah dicabar calon muka baharu BERSATU, Rosmadi Arif, yang mewakili PN.

Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu menguasai DUN Chennah sejak 2013 dan sebelum itu menjadi wakil rakyat bagi DUN Lobak selama dua penggal.

Di Kedah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang mempertahankan kerusi DUN Jeneri dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dicabar Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Selain Jeneri, turut berdepan saingan satu lawan satu adalah Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang kembali bertanding di kerusi DUN Pedu selepas 15 tahun meninggalkan kerusi berkenaan.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah akan mencabar calon PN, Mohd Radzi Md Amin.

Di Selangor pula, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang bertanding mewakili PN bertemu bekas ‘anak didiknya’, Juwairiya Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR yang bertanding atas tiket PH di DUN Hulu Kelang.

Mohamed Azmin yang juga bekas pemimpin PKR adalah penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan ini kali pertama beliau bertanding di DUN Hulu Kelang.

Di Terengganu, beberapa nama besar berdepan saingan satu lawan satu termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dicabar calon PH, Suhaimi Sulaiman.

Ahmad Samsuri yang bertanding buat kali pertama pada PRU-14 memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Selain Ahmad Samsuri, dua bekas menteri besar iaitu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman turut berdepan saingan satu lawan satu di kerusi ditandingi masing-masing.

Ahmad Said yang BN bertemu Ketua BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris yang mewakili PAS di DUN Kijal, manakala Ahmad Razif berdepan rakannya dari BERSATU yang mewakili PN, Khazan Che Mat di DUN Seberang Takir.

Pada PRU14, Ahmad Razif yang mewakili BN menang dengan majoriti 1,884 menewaskan calon PAS, Mohd Fazil Wahab.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 180 daripada keseluruhan 245 kerusi yang terbabit dalam PRN di enam negeri terbabit saingan satu lawan satu, selain kerusi Parlimen Terengganu yang terbabit Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bagi PRN, ia membabitkan 28 DUN di Kedah, Kelantan (40), Terengganu (30), Pulau Pinang (29), Selangor (26) dan Negeri Sembilan (27). – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close