Pilihan EditorTurun Naik

Usah Jadikan Negara Lokasi Pelaburan Kurang Berkualiti

Oleh Prof Madya Dr Tamat Sarmidi

 

PEMULIHAN ekonomi pasca pandemik COVID-19 memerlukan banyak sokongan daripada pelaburan langsung atau tidak langsung asing.

Di samping suntikan modal, pelaburan asing menjadi tunjang sinergi mengukuhkan hubungan diplomatik dan pengembangan pasaran produk Malaysia ke persada antarabangsa.

Pandemik melanda dunia awal tahun ini menjejaskan prestasi kemasukan pelaburan asing ke Malaysia. Dalam laporan 2020, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjurkan pelaburan asing Malaysia akan terjejas teruk akibat pandemik.

Usaha terancang dan berstruktur di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pelbagai agensi di bawah kementerian seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) atau agensi kerajaan negeri, berjaya menjadikan Malaysia negara pilihan utama pelabur antarabangsa.

Banyak faktor menyumbang keistimewaan ini, antaranya tujahan pelaburan jelas, infrastruktur asas memenuhi piawaian, tenaga pakar dalam bidang, sumber asli yang banyak dan pelbagai insentif kewangan disediakan kerajaan di samping kestabilan politik negara, walaupun masyarakatnya pelbagai kaum.

Sebagai bukti, stok pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia terus meningkat tahun ke tahun, iaitu dari RM474.6 bilion pada 2014 kepada RM631.2 bilion (2018).

Sebagai tanda pengiktirafan, pada 2020 Malaysia dinobatkan paling menyerlah dalam menyediakan ekosistem pelaburan di Asia oleh World Business Angel Investment Forum (WBAF).

Jika dibandingkan negara lain, Malaysia menduduki ranking ke-12 sebagai negara yang mudah dalam menjalankan perniagaan pada 2020 mengatasi semua negara ASEAN, kecuali Singapura.

Kerajaan sangat menekankan kecekapan proses, mempercepat kelulusan dan mengurangkan birokrasi yang tidak berkaitan dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi utama pelaburan asing.

Kepentingan aspek kecekapan dan mengurangkan birokrasi kelulusan pelaburan menjadi agenda utama. Ditambah kekuatan institusi, strategi dan dasar pragmatik serta properniagaan mampu mengekalkan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan asing.

Namun, dalam keghairahan menarik lebih banyak pelaburan asing, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian serius.

Antaranya, pelaburan asing perlu menyokong kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan. Statistiknya lebih 90 peratus entiti perusahaan di negara ini berstatus mikro atau kecil atau sederhana.

Galakan pelaburan menggunakan kepakaran dan bahan mentah tempatan. Terdapat beberapa industri Malaysia unik pada peringkat antarabangsa perlu diberi perhatian sewajarnya seperti perusahaan hiliran industri minyak sawit, getah asli dan makanan.

Elakkan pelaburan mempunyai nilai tambah tempatan sangat rendah. Contohnya, pelaburan yang menjadikan Malaysia sebagai tempat memasang peralatan tertentu yang keseluruhan komponen dipasang diimport dari luar negara.

Lebih malang buruh memasang komponen juga dari luar negara. Pelabur hanya bermotifkan kepentingan syarikat dan insentif diberi kerajaan.

Kedua, buruh asing terus menjadi isu serius dalam landskap ekonomi negara pasca COVID-19. Selain sukar dikawal ketika penularan wabak, buruh asing menyumbang isu keselamatan, kecekapan dan ketirisan dana ke luar negara dalam bentuk kiriman wang.

Namun, kesediaan warga tempatan mengisi atau mengganti warga asing terus dipersoalkan. Banyak diperbincangkan mengenai sikap dan kekuatan mental buruh tempatan jika dibandingkan warga asing.

Strateginya, pelaburan asing yang menyokong industri berteknologi tinggi berasaskan sumber asli tempatan bersesuaian dengan sistem pendidikan negara yang menekankan transformasi digital dan kemahiran berdasarkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Ketiga, pelaburan asing yang mendukung teknologi hijau yang mesra alam sekitar. Kelulusan pelaburan asing semestinya sejajar hasrat negara mematuhi Protokol Kyoto 1997 yang menekankan kualiti alam sekitar.

Pelaburan asing berteraskan teknologi hijau seharusnya diberi perhatian.

Ironinya, terdapat kajian ilmiah membuktikan wujud kesan negatif kepada kemasukan pelabur asing jika kerajaan mengetatkan syarat kemasukan pelaburan supaya memenuhi hasrat negara penerima seperti syarat struktur modal, gaji minimum dan teknologi mesra alam sekitar.

Paradoks seperti ini menimbulkan dilema kepada pembuat dasar kerana semakin bertegas dalam menentukan kemasukan pelaburan asing akan mengakibatkan berkurangnya pelaburan asing ke dalam negara.

Sebaliknya, semakin longgar syarat dalam meluluskan pelaburan asing, dapat meningkatkan kemasukan pelaburan asing.

Hakikatnya, kecekapan dan kurang birokrasi ditekankan kerajaan dalam proses kelulusan pelaburan asing tidak boleh dijadikan asas untuk mengundang pelaburan ‘kotor’.

Kebanyakan perusahaan di negara maju menganggap negara membangun tempat untuk menempatkan pelaburan kurang berkualiti, berasaskan buruh murah dan teknologi tidak mesra alam sekitar atau lebih dikenali sebagai ‘syurga pencemaran’.

Negara maju mengambil kesempatan memindahkan industri tidak mesra alam sekitar ke negara membangun yang memerlukan dana pelaburan asing.

Strateginya, banyak kajian menekankan keutuhan institusi sebagai daya tarikan kepada kemasukan pelabur asing.

Keyakinan pelabur kepada ketinggian nilai budaya kerja dan integrasi institusi mampu mengurangkan risiko pelaburan dan menjadikan negara sebagai destinasi utama pelabur.

Malaysia, dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing untuk mengatasi kelembapan ekonomi selepas pandemik COVID-19, beberapa perkara asas kualiti pelaburan menyokong rangkaian penawaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pembabitan buruh tempatan mesti diutamakan.

Kelestarian tadbir urus pelaburan seperti keberkesanan promosi, kecekapan bantuan, liberalisasi pelaburan dan perlindungan dana bakal lebih menyerlahkan keutuhan institusi di negara ini.

Pandemik mengubah normal biasa pelaburan. Inilah masanya untuk negara menganjakkan normal baharu pelaburan negara ke tahap yang swakekal dan berwajah Malaysia. – BERITA HARIAN

 

  • Penulis adalah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close