Governans

Industri Minyak Sawit Dijangka Kembali Pesat Pada Separuh Kedua 2020

Eksport minyak sawit Malaysia dijangka meningkat 2.5 peratus kepada 4.56 juta tan pada suku ketiga 2020 berbanding dengan angka pada suku kedua didorong peningkatan permintaan secara beransur-ansur dari pasaran tradisional, termasuk India, China dan Kesatuan Eropah (EU), kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Kalyana Sundram berkata India, yang sangat bergantung pada minyak makan, akan menyambung kembali pembelian minyak sawit dengan jumlah kira-kira 2.15 juta tan pada suku ketiga.

Beliau berkata langkah itu dipermudahkan menerusi pengecualian duti ke atas minyak sawit mentah (MSM) oleh Malaysia baru-baru ini selain harga yang kompetitif berbanding dengan pengeluar minyak sawit lain.

Secara tahunan, India membeli kira-kira 9.0 juta tan minyak sawit, iaitu hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan import minyak sawitnya, dan pada 2019, 4.4 juta tan daripada pembelian negara itu adalah dari Malaysia.

“Sementara itu, permintaan China terhadap minyak sawit juga akan meningkat (pada suku ketiga) dengan anggaran jumlah import sebanyak 1.8 juta tan.

“Permintaan dari EU turut dijangka meningkat susulan kekurangan pengeluaran biji sesawi kerana faktor cuaca dan aktiviti pengisaran bijian lebih rendah,” katanya dalam webinar kedua MPOC mengenai Minyak Sawit dalam Pasaran Pascapandemik hari ini.

Semasa sesi dialog secara dalam talian selama sejam yang dikendalikan Kalyana itu, tiga ahli panel mengupas isu berkaitan dengan kesan COVID-19 terhadap prestasi eksport minyak sawit Malaysia, potensi pembelian dari India, China dan EU pada separuh kedua 2020 serta cabaran perdagangan minyak sawit di era pascapandemik.

Webinar itu bermula dengan Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA), Sudhakar Desai berkata India merupakan pelanggan terbesar Malaysia.

Beliau berkata minyak sawit Malaysia menguasai kira-kira 30 hingga 40 peratus bahagian pasaran import minyak makan oleh India.

“Saya berpandangan pasca-COVID-19, akan wujud lonjakan import minyak sawit Malaysia susulan kelebihan dari segi duti dan kami amat menyambut baik langkah kerajaan dalam memperkenalkan pengecualian cukai ini sehingga akhir 2020,” katanya.

Pada Jumaat lepas, kerajaan Malaysia menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), mengumumkan pengecualian cukai ke atas MSM, minyak isirung sawit mentah dan minyak isirung sawit diproses mulai 1 Julai, 2020 hingga 31 Dis, 2020, untuk membantu menguruskan paras stok negara dan menstabilkan harga MSM.

Bagaimanapun, ketika India berusaha mengurangkan pergantungan kepada import minyak makan, ia  mahu mendapatkan kepakaran hanya dari Malaysia dalam perladangan kelapa sawit.

Sudhakar semasa menjelaskannya berkata ia mungkin dalam bentuk kerjasama yang akan dijalinkan di antara kedua-dua kerajaan atau usaha sama.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, akan ada banyak rangsangan dijangka diberikan bagi menanam biji benih tempatan kami dan sawit merupakan satu daripada pilihan,” katannya.

Mengenai pemintaan dari China, Pengarah Perniagaan KLK Bhd Ooi Liang Hin berkata negara itu juga sangat bergantung kepada import minyak dan lelemak.

“Import minyak bijian mencatatkan penurunan tahun lepas disebabkan oleh penularan wabak selsema babi Afrika di seluruh negara itu, tetapi pada Januari sehingga April tahun ini, kami melihat import minyak boleh dimakan yang stabil kerana ekonomi China telah dibuka semula dan permintaan pulih dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan China perlu membangunkan rizab jaminan makanan nasional untuk meningkatkan inventori bijirin dan minyak bijian sekiranya berlaku kemungkinan gelombang kedua jangkitan pandemik COVID-19.

“Minyak sawit tidak termasuk dalam rizab nasionalnya, tetapi China dijangka membeli lebih banyak minyak sawit bagi menampung bekalan akibat daripada penurunan seterusnya import minyak kacang soya atau minyak sesawi sekiranya ketegangan politik dengan Amerika Syarikat berterusan,” katanya sambil menambah stok minyak sawit China berjumlah hanya setengah juta tan metrik.

China dijangka mengimport hampir enam juta tan metrik minyak boleh di makan tahun ini berbanding 7.5 juta tan metrik tahun lepas, katanya, sambil menambah daripada kuantiti itu, 30-40 peratus dijangka datang daripada minyak sawit Malaysia.

Ahli panel terakhir, Jose Angel Olivero Garcia, Pengarah Jualan Lipidos Santiga, berkata penggunaan minyak sawit dalam makanan di Kesatuan Eropah akan terus turun pasca COVID-19 kerana akan berlaku perubahan dalam tingkah laku penggunaan.

“Tidak ada sebarang sambutan, oleh itu, tidak ada pastri, majerin, kek dan krim putar,” katanya.

Sebagai menutup sesi tersebut, perantara Dr Kalyana Sundram berkata industri minyak sawit secara keseluruhannya, dan Malaysia, terutamanya, dijangka terus maju kehadapan bagi tempoh berbaki tahun ini, meskipun berdepan dengan pandemik.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia, dalam kemas kini stok bulanannya pada Rabu berkata stok minyak sawit negara susut 0.49 peratus bulan ke bulan kepada 2.03 juta tan metrik pada Mei 2020 daripada 2.04 juta tan metrik pada April 2020.

Jika semuanya berjalan lancar dan stok terus berkurangan, akan ada berita baik bagi harga MSM (diniagakan tinggi), katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close