Ekonomi Islam & Global

Rang Undang-undang Pelaburan Baharu Undang Kemarahan Pekerja Di Indonesia

Ribuan pekerja Indonesia hari ini menyertai tunjuk perasaan bagi menentang undang-undang baharu yang menimbulkan kontroversi dan dikritik kerana dibimbangi memihak kepada pelabur dan menindas hak pekerja serta alam sekitar.

Penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara dan beberapa lokasi tumpuan di kepulauan itu.

“Saya antara kumpulan terakhir dalam syarikat yang akan menggunakan khidmat pekerja berstatus tetap,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Basiranat yang menghadiri perhimpunan di Tangerang.

Aktivis pekerja dan alam sekitar telah membentuk pakatan bagi menentang undang-undang yang diluluskan Parlimen semalam selepas dipromosikan oleh kerajaan sebagai kunci untuk menarik pelaburan.

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International menyifatkan ia sebagai ‘malapetaka’ dan boleh mengancam kehidupan dan keselamatan pekerja.

Jurucakap kumpulan alam sekitar Mighty Earth, Phelim Kine, berkata undang-undang itu akan menyumbang kepada penebangan hutan secara tidak terkawal.

Dalam pada itu, kerajaan menyifatkan rang undang-undang itu dilaksanakan bagi mengelakkan birokrasi dengan mengubah puluhan undang-undang yang ada meliputi peraturan percukaian, buruh dan persekitaran bagi menarik pelaburan asing.

Walaupun penguatkuasaan kadang kala dilihat tidak bersesuaian, Indonesia mempunyai undang-undang buruh yang ketat khususnya membabitkan syarikat asing.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto menolak kritikan berkenaan.

“Kita memerlukan undang-undang yang mudah, seragam dan tidak banyak birokrasi,” katanya.

Indonesia menghadapi kemelesetan yang teruk dengan ekonomi menyusut sehingga 5.32 peratus pada suku kedua tahun ini disebabkan oleh COVID-19.

Setakat ini, lebih 11,000 rakyat negara itu terkorban, manakala 300,00 lagi disahkan positif wabak itu. – AFP

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close