Pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bakal diperluas ke beberapa plaza tol di laluan menuju ke selatan negara, pada awal tahun depan.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Shuhaimi Hassan, berkata pelaksanaan itu adalah susulan ujian perintis dijalankan di sembilan plaza tol di negeri utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang pada 22 Julai lalu.
“Kita kena uji lagi untuk melihat keberkesanan sistem ini bagi menambah baik sistem serta memudahkan lebih 1.7 juta pengguna lebuh raya,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas Kempen Pembudayaan Norma Baharu Kementerian Kerja Raya (KKR) yang dilancarkan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith di sini, hari ini.
Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kawalan kendiri serta amalan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan COVID-19.
Eddin Syazlee meluangkan lebih sejam melawat dan mengedarkan beg cenderahati kepada pengguna lebuh raya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh sempena pelancaran kempen itu.
Pelaksanaan RFID adalah langkah awal ke arah Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (MLFF) di lebuh raya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan bayaran tol pada masa akan datang, sekali gus dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol.
RFID kini dilaksana dan diuji di 62 plaza tol sistem tol terbuka bermula 1 Januari lalu antaranya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Termasuk di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Lebuhraya KL – Karak (KLK) dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK). – BERNAMA