Pilihan EditorTwo Cents

SATU PANDANGAN: Dasar Ekonomi MADANI Perlu Masa, Kestabilan Politik Untuk Direalisasi – Penganalisis

Kestabilan politik adalah komponen penting bagi memastikan dasar yang dirangka Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan secara konsisten seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpandangan kestabilan politik akan membantu jentera kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang telah dirancang.

Mengambil contoh dasar Ekonomi MADANI, beliau berkata dasar yang bakal mencorak hala tuju ekonomi negara bagi tempoh jangka sederhana dan panjang itu memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Kestabilan ini penting terutamanya isu berkaitan sumbangan gaji dan upah dalam ekonomi negara yang kini sumbangannya adalah 32 peratus pada tahun 2022 dan dijangka akan dinaikkan kepada 40 peratus (tahun ini), pembangunan semasa, penyertaan wanita dalam sektor ekonomi serta kedudukan defisit fiskal yang rendah.

“Sasaran-sasaran ini bukan mudah untuk dicapai dan ia memerlukan masa untuk dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Rusmawati Said berkata ekonomi bukannya sesuatu yang boleh diubah dengan cepat memandangkan perubahannya perlu melibatkan keseluruhan ekosistem.

Beliau berkata sebagai contoh untuk menaikkan kadar upah pekerja, ekosistem ekonominya saling berkaitan antara keupayaan kemahiran tenaga kerja dan bahagian sumber manusia

“Ia biasanya bukan hanya melibatkan satu sektor sahaja sebaliknya melibatkan banyak sektor. Dalam ekonomi secara prinsipnya bukan boleh diubah satu sektor dan sektor lain tak diubah. Bukan begitu.

“Pandangan saya memang dia (Perdana Menteri) kena ubah banyak sektor dan melibatkan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Cuma ia bergantung kepada sama ada kerajaan proaktif dalam menentukan perancangan itu dijalankan secara teratur,” katanya.

Menurut Rusmawati, mentadbir sebuah negara tidak boleh dilihat sama seperti mentadbir sebuah syarikat memandangkan pentadbiran negara lebih luas perspektifnya.

“Mentadbir negara melibatkan pelbagai sektor dan dalam satu ekosistem, kalau mahu baiki ekonomi negara itu, kena baiki keseluruhan ekosistem. Betul akan ambil masa sikit untuk mengubah ekosistem, tetapi perancangan harus betul,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close