Kedai Runcit

Geran Agropreneur Muda Tingkat Pendapatan Usahawan Tani

Kira-kira 41 peratus peserta bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya meningkatkan pendapatan mereka antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali, berkata ia membabitkan seramai 764 usahawan tani bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga suku pertama tahun ini.

“Apabila kita bantu melalui geran ini, mereka dapat meningkatkan hasil produktiviti dan ia secara tidak langsung meningkatkan pendapatan mereka.

“Apabila pendapatan mereka meningkat, ia melayakkan lagi untuk membuat pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah dan ia membolehkan mereka terus mengembangkan perniagaan melalui pelbagai bentuk kemudahan disediakan,” katanya.

Menurut beliau, kementerian itu memperuntukkan RN174.16 juta untuk memperkasakan golongan belia dalam sektor agromakanan menerusi bantuan GAM yang memberi manfaat kepada 9,529 penerima sejak 2016.

Jelas beliau, pelaksanaan GAM penting untuk menggalakkan belia untuk menceburi bidang pertanian dan meningkatkan pengeluaran hasil tani dalam negara sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.

Mengulas mengenai penerimaan belia pada masa kini terhadap bidang pertanian, beliau berkata, golongan itu dilihat lebih terbuka lebih-lebih lagi ilmu pengetahuan berkaitan pertanian hanya di hujung jari.

Jelasnya, sudah ramai golongan muda yang terbabit dalam bidang pertanian, malah ada dalam kalangan mereka yang sudah bergelar jutawan.

“Minat orang muda dalam pertanian sudah terbuka luas dan lebih daripada terbuka. Berbanding 10 ke 15 tahun lepas, tiada teknologi.

“Dahulu tiada maklumat, risiko terlalu tinggi jika tiada ilmu. Sekarang ada ilmu atas talian dengan risiko dapat dikurangkan dan lebih banyak kejayaan dicapai,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close