Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula dikreditkan kepada penerima secara berperingkat mulai hari ini, membabitkan seramai 8.6 juta penerima di seluruh negara.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, dengan peruntukan RM2 bilion, jumlah bayaran adalah hingga RM650 bergantung kepada kelayakan isi rumah, warga emas dan bujang.
Menurut kenyataan itu, jumlah penerima seramai 8.6 juta itu adalah peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari lalu.
Peningkatan berkenaan hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Solan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR. – BH ONLINE