UDA Holdings Berhad (UDA) memperkenalkan kempen “Jimat Super Deals” yang bertujuan membantu rakyat Malaysia memiliki rumah impian dengan lebih mudah melalui inSentif tambahan yang berpatutan.
Kempen yang berlangsung sehingga 31 Disember 2024, menawarkan pelbagai bantuan dan pembayaran fleksibel untuk projek hartanah terpilih.
Menerusi ‘Jimat Super Deals’, pembeli berpeluang menikmati pelan pemilikan mudah dengan tempoh pembayaran fleksibel sehingga 12 bulan.
Tambahan pula, kempen ini menawarkan pelan pembayaran fleksibel untuk bayaran perbezaan antara jumlah pinjaman dan harga pembelian, dengan kadar faedah serendah 3.8 peratus, tertakluk kepada institusi kewangan terpilih dan skor kredit pembeli.
Projek-projek hartanah yang terlibat dalam kempen ini termasuk 38 Bangsar Residensi (Bangsar), Dedaun Residensi (Bandar Tun Hussein Onn), Sedili Residensi (Kota Tinggi), Taman Sena Permai (Kangar), Crescent Dew 1B (Kepala Batas), dan Amaanee Residences (Seberang Perai).
Projek lain yang turut serta ialah Pelindung Heights 1B (P4) (Kuantan), Kuala Terengganu Golf Resort F6P1 (Kuala Terengganu), Neu Pendington 1A & 1B (Kuching), Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin (Alor Setar), UDA Heights dan 21BizHub (Bandar UDA Utama, Johor Bahru).
Kempen ‘Jimat Super Deals’ akan berlangsung dari 27 hingga 29 September 2024 (Jumaat hingga Ahad) sempena Karnival UDA 2024 yang diadakan di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.
Karnival ini bertujuan memperkenalkan aspirasi UDA dalam melahirkan usahawan mampan.
Objektif utamanya adalah untuk menjejak, mendekati, membimbing serta mentransformasi usahawan berpotensi agar berdaya saing dan mampu bersaing bukan sahaja pada peringkat domestik, tetapi juga antarabangsa.
Karnival ini juga menyediakan platform kepada usahawan UDA dan rakan kolaborasi untuk memasarkan produk serta perkhidmatan mereka kepada orang ramai dan komuniti setempat.
Malah, ia turut mempromosikan pelbagai kemudahan serta insentif usahawan yang disediakan oleh UDA untuk membantu perkembangan perniagaan tempatan.
Selain memperkenalkan peluang pemilikan hartanah di kawasan bandar, Karnival UDA 2024 yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya, menawarkan tujuh zon interaktif untuk seisi keluarga.
Zon-zon tersebut termasuk Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa&Ma serta Jualan Pelbagai.
Selain kempen ‘Jimat Super Deals’, karnival yang berlangsung selama 3 hari itu juga menampilkan pelbagai program lain seperti USHAniaga, Jualan MADANI, Program Insentif Usahawan UDA dan Usahawan Asnaf.
Pameran oleh rakan strategik seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai lagi juga turut diadakan. – BH ONLINE