Jabatan Audit Negara (JAN) akan melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai tahun depan dalam usaha mewujudkan era baharu tadbir urus di Malaysia.
Ia susulan kelulusan pindaan Akta Audit 1957 pada Julai lalu membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016 (Akta 777), yang menerima jaminan kewangan Kerajaan Persekutuan atau negeri.
Sebelum kelulusan pindaan akta itu, mana-mana syarikat kerajaan, termasuk GLC perlu melalui proses pewartaan di Parlimen terlebih dahulu sebelum boleh diaudit oleh JAN.
BERNAMA melaporkan, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata kelulusan pindaan Akta Audit 1957, memperluas kuasa Ketua Audit Negara dengan ketara, sekali gus membolehkan pengawasan perbelanjaan awam di Malaysia secara lebih menyeluruh.
Beliau menegaskan, JAN menerima guna era baharu akauntabiliti dan tadbir urus melalui pendekatan inovatif, terutama dalam aspek penyepaduan teknologi.
“Hasil dapatan audit kami adalah digital sepenuhnya pada tahun depan dari segi kaedah pengauditan yang dijalankan serta aspek analisis data.
“Pada masa ini kami sedang berusaha dengan beberapa pihak berkepentingan dalam memahami teknologi baharu dan bagaimana ini dilaksanakan di peringkat sektor swasta,” katanya.
Wan Suraya berkata, kalangan juruaudit akan memastikan pengumpulan data dilakukan secara teratur dalam ruang lingkup teknologi baharu selain memastikan aspek kerahsiaan terus terjamin.
Jabatan itu juga, katanya, akan bekerjasama erat dengan IIAM dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta entiti lain yang terbabit dalam sektor pengauditan bagi mencapai matlamatnya.
Bersandarkan usaha-usaha sedemikian, Wan Suraya berkata, JAN berharap dapat meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi negara ini dengan memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan.
Pada masa sama, beliau berkata, JAN sedang mengorak lembaran baharu tadbir urus dengan anjakan ke arah pengauditan tematik.
Selepas menjalankan audit tematik pertama ke atas segmen perhutanan pada tahun lalu,, jabatan itu kini menumpukan bidang kritikal seperti keterjaminan makanan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Bagi saya, laporan tematik SDG adalah amat penting dan unik kerana kami turut bekerjasama dengan semua pihak berkaitan. Semua mendakwa telah patuh SDG, tetapi sekarang dapat dipastikan sama ada kenyataan mereka benar atau sebaliknya,” katanya. – BERNAMA/BH ONLINE