Duniaku Teknokrat

Telco Tawar Internet Percuma Untuk Akses Pendidikan Dan Produktiviti

Syarikat telekomunikasi (telco), Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) terus menyokong keperluan kerja dan pembelajaran orang ramai dalam bentuk perkhidmatan internet percuma yang baharu.

Pengendali-pengendali talian berkenaan dalam satu kenyataan bersama berkata inisiatif industri secara bersama ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut kenyataan itu, Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM akan menawarkan produktiviti internet percuma 1 gigabait (GB) setiap hari, untuk digunakan antara 8 pagi hingga 6 petang, bagi mengakses pelbagai perkhidmatan pendidikan dan produktiviti yang berkaitan dari 10 Jun hingga 31 Dis 2020.

Ini akan menggantikan internet percuma kelajuan tinggi 1GB yang dibekalkan oleh telco kepada pelanggan dari 1 April sehingga 9 Jun 2020.

“Pelanggan boleh merujuk kepada telco mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara menebus tawaran internet percuma ini termasuk senarai perkhidmatan yang disertakan,” kata kenyataan itu.

Telco ini juga akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had kepada pelbagai aplikasi serta perkhidmatan berkaitan maklumat untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa dikemaskini dengan berita terkini mengenai COVID-19.

Sementara itu, YTL Communications akan terus menawarkan inisiatif Belajar Dari Rumah yang merangkumi kad SIM percuma dengan data 40GB kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah kerajaan, pelajar dan fakulti dari institusi pengajian tinggi yang menjadi rakan kongsi.

Kumpulan itu juga akan menyediakan telefon bimbit percuma dengan data 120GB untuk pelajar yang layak dalam keluarga B40.

Selain itu, YTL Communications juga akan terus menyediakan kandungan pendidikan dalam talian percuma yang dibuat dengan kerjasama Teach for Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya lagi, TM dan TIME dotCom Bhd memberikan sokongan kepada telco dengan menyediakan kapasiti serat tambahan bagi memenuhi keperluan trafik yang lebih tinggi sambil meneruskan penawaran mereka yang berkaitan untuk pelanggan sekarang ini. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close