GovernansMalaysiaPilihan Editor

Tempoh Moratorium Harus Dilanjutkan Untuk Mendokong Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Pandemik Covid-19 – Kata Pengerusi BN

oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan dua saranan kepada kerajaan dan pihak berwajib iaitu;

a.   Bank-bank melanjutkan tempoh moratorium kepada peminjam.

b.   Bank Negara Malaysia perlu menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada sekitar 0%

Dua saranan besar ini dinyatakan dalam entri terbaharu Facebook rasmi Pengerusi BN yang memperlihatkan kebajikan rakyat perlu ditangani secara bijak dan berhemah, tetapi pada waktu sama, kadar pemulihan ekonomi negara juga perlu dipertingkatkan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menjelaskan moratorium yang sedang berlangsung merupakan satu komponen penting yang menyumbang kepada keberkesanan pakej rangsangan ekonomi Kerajaan Malaysia.

Moratorium telah memberikan manfaat yang sangat besar bukan sahaja kepada peminjam, malah merupakan antara polisi penting yang berjaya menyelamatkan ekonomi negara kerana ia telah mempertahankan tingkat perbelanjaan sektor domestik (isirumah dan perniagaan) daripada terus merudum.

“Untuk itu saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan bank-bank yang menjayakan polisi ini.

“Moratorium adalah satu bentuk pakej rangsangan ekonomi tanpa kerajaan meningkatkan perbelanjaan fiskal.

“Ini kerana moratorium membolehkan peminjam yang terdiri daripada rakyat awam dan perniagaan, terutamanya  perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) dapat meningkatkan perbelanjaan mereka dalam ekonomi tanpa kerajaan perlu mengeluarkan belanja.  Moratorium yang diluluskan adalah berjumlah lebih kurang RM 40 billion,” kata Ahmad Zahid dalam entri Facebooknya.

Menurut entrinya, ini bermakna seandainya moratorium tidak diberikan oleh kerajaan, perbelanjaan domestik dalam ekonomi negara akan berkurang sebanyak RM40 billion kerana wang yang digunakan untuk membayar balik pinjaman bank adalah merupakan bocoran wang yang terkeluar dari kitaran ekonomi.

Sekiranya peminjam perlu membayar pinjaman ketika ini, ia bukan sahaja membebankan peminjam ketika banyak sektor perniagaan dan industri terpaksa tutup akibat lockdown serta ramai pekerja dipotong gaji dan dibuang kerja, malah akan mengakibatkan agregat perbelanjaan dalam ekonomi domestik menguncup sebanyak RM40 bilion.

 

Justeru, andai kata moratorium tidak dilaksanakan, ia hanya akan lebih merugikan sektor-sektor lain.

Bagi tahun 2020, Bank Negara mengunjurkan ekonomi negara bakal mencatatkan pertumbuhan negatif atau paling tinggi, dijangkakan ekonomi hanya akan tumbuh dl sekitar 0.5% sahaja.

Berlakunya kelembapan ekonomi ketika ini adalah akibat agregat perbelanjaan mengalami penurunan, antaranya disebabkan oleh perbelanjaan isirumah yang terkesan kerana pendapatan pekerja terjejas.

Selain itu, perbelanjaan pelaburan juga mengalami penurunan kerana sektor perniagaan dan korporat mengambil keputusan untuk tidak melabur kerana mereka menjangkakan kelembapan ekonomi akan berlaku.

Kata Ahmad Zahid, ini bermakna bukan sahaja pekerja mengurangkan perbelanjaan isirumah, malah sektor perniagaan dan korporat juga mengurangkan perbelanjaan pelaburan mereka.

“Peningkatan perbelanjaan isirumah adalah merupakan antara komponen terpenting yang menjadi pendorong kepada pemulihan ekonomi.

“Oleh itu, tingkat perbelanjaan isirumah yang stabil dan tidak mengalami penurunan mendadak setelah tempoh moratorium tamat nanti bakal mewujudkan ‘business confidence’ , ini dapat mengelakkan daripada lebih banyak perniagaan gulung tikar dan dapat menyelamatkan ramai pekerja dibuang kerja,’ katanya lagi.

Oleh itu,  beliau berpandangan bahawa tempoh moratorium yang bakal tamat pada September ini wajar dilanjutkan lagi sehingga penghujung tahun ini atau suku pertama tahun 2021.

“Dengan tempoh moratorium dilanjutkan, maka penguncupan mendadak tingkat perbelanjaan domestik dalam ekonomi dapat dielakkan.

“Saya amat yakin sektor perbankan dalam negara kita sangat mampu untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan polisi ini sekiranya tempoh moratorium dilanjutkan.

“Saya yakin perlanjutan tempoh moratorium tidak akan merugikan bank, sebaliknya ia hanya akan mengurangkan keuntungan bank sahaja,” ujar Pengerusi BN itu lagi.

Laporan dari Bank Negara sendiri mengatakan bahawa bank-bank di negara kita berada dalam kedudukan yang kukuh dan mampu untuk bertahan sekiranya keuntungan mereka berkurang seperti mana dalam satu laporan “Banks are well-positioned to absorb the potential impact on profitability, given the prudent provisioning buffers built up over the years.” -BNM

https://www.bnm.gov.my/ar2019/files/fsr2019h2_en_ch2a.pdf

Sehubungan itu, Ahmad Zahid juga berharap agar BNM dapat mengurangkan OPR kepada sekitar 0% sejajar dengan polisi monetari yang dilaksanakan di banyak negara lain.

“Penurunan kadar bunga kepada sekitar 0% ketika ini tidak akan mendatangkan risiko inflasi kepada negara kita, ini kerana kelembapan ekonomi telah menyebabkan banyak negara berhadapan dengan risiko deflasi, termasuklah di Malaysia.

“Pengurangan kadar bunga akan mengurangkan kos pinjaman bagi perniagaan, seterusnya mengurangkan kos pelaburan dan sedikit sebanyak dapat membantu pemulihan ekonomi,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close