Syarikat penerbangan nasional Bahrain, Gulf Air kini membuka slot tempahan bagi perkhidmatan penerbangan terus antara Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain (BAH) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijadual bermula pada 29 September 2026.
Dalam kenyataan hari ini, Gulf Air memaklumkan tempahan penerbangan itu kini boleh dibuat menerusi laman sesawang gulfair.com selain aplikasi mudah alih Gulf Air atau ejen pelancongan yang sah.
Gulf Air menyifatkan penambahan Kuala Lumpur sebagai destinasi tetap sebagai satu lagi pencapaian penting dalam strategi rangkaiannya dengan menawarkan penumpang kepada akses secara terus ke salah satu destinasi paling dinamik di Asia Tenggara.
Ini juga sejajar dengan langkah syarikat penerbangan itu meningkatkan operasi jadual ke Kuala Lumpur menjelang hujung minggu bersempena perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix bagi menyediakan kapasiti tambahan serta lebih fleksibiliti untuk kalangan peminat serta pelancong menghadiri acara berkenaan.
Pada 26 Julai lalu, pihak F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan diperlukan, termasuk daripada Majlis Sukan Bermotor Dunia.
Perlumbaan itu dijadualkan berlangsung dalam tempoh masa antara penganjuran Azerbaijan Grand Prix dan Singapore Grand Prix dalam kalendar F1.
Menurut Gulf Air, penerbangan itu akan diteruskan sebagai sebahagian daripada destinasi rangkaian tetap, beroperasi dalam jadual tetap bagi menyokong kesalinghubungan antara Bahrain dan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Gulf Air, Martin Gauss, berkata penambahan Kuala Lumpur sebagai destinasi tetap akan terus memperkukuh rangkaian penerbangannya serta menyokong hubungan perjalanan sepanjang tahun antara Bahrain dan Malaysia, serta destinasi lain.
“Sebagai penaja utama perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Malaysia, kami rasa bangga dapat menghubungkan peminat dan pelancong ke acara bertaraf dunia ini melalui perkhidmatan terus baharu ke Kuala Lumpur,” katanya.
Kumpulan pesawat Gulf Air itu merangkumi 10 buah pesawat jenis Boeing 787 dan 34 Airbus A320/A321. -BERNAMA




