MalaysiaPilihan Editor

PRN6: Calon “Heavyweight” BERSATU-UMNO Dijangka Bertembung di DUN KIJAL

Razali-Ahmad Said - dua panglima besar bakal berebut kerusi

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Dua panglima besar perang di Terengganu bakal bertembung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said (kiri) dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris.

Penyandang DUN Kijal yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said dijangka dicabar Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris yang juga Senator Dewan Negara.

Penganalisis tempatan berpandangan Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dikekalkan bertanding mempertahankan kerusi DUN Kijal disandangnya sejak 1990.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad mengekalkan kerusi DUN Kijal pada pertembungan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 1,265 undi.

DUN Kijal antara lima kerusi diserahkan PAS kepada BERSATU untuk ditandingi pada PRN kali ini.

Sementara itu laporan BH Online, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, berkata kedudukan DUN untuk lima calon daripada parti itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Khamis ini.

“Semua calon BERSATU akan bertanding menggunakan lambang PAS,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang disandangnya sejak PRU14.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi itu dengan beliau bakal dicabar calon daripada AMANAH.

Pada PRU14, Ahmad Samsuri yang juga bekas Setiausaha Politik Presiden PAS memenangi kerusi dengan majoriti 6,028 undi.

Ahmad Samsuri memperoleh undi sebanyak 13,851, meninggalkan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (BN) dengan undi 7,823, dan seorang lagi calon daripada Pakatan Harapan (PH), Zarawi Sulong hanya memperoleh 729 undi.

Selain DUN Rhu Rendang, AMANAH dijangka akan bertanding di DUN Tepoh dan Batu Burok.

Sementara itu, pertembungan sengit juga dijangka berlaku di DUN Telemong, apabila penyandang kerusi, Datuk Rozi Mamat daripada BN dijangka ditentang calon BERSATU yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail.

Pada PRU14, Rozi yang juga Setiausaha UMNO negeri memenangi kerusi DUN Telemong dengan memperoleh majoriti 4,159 undi, menewaskan calon PAS, Kamaruzaman Abdullah (5,248) dan calon PKR, Sharifah Norhayati Syed Omar (455 undi). – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close