Kedai Runcit

Sektor Peruncitan Malaysia Dijangka Merosot 8.7 Peratus

Retail Group Malaysia (RGM) menyemak turun unjuran awalnya terhadap prestasi industri peruncitan pada tahun ini dengan menjangkakan penurunan sebanyak 8.7 peratus berbanding jangkaan 5.5 peratus pada April lalu.

RGM berkata, ahli Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) yang ditemubual menjangkakan bahawa kadar pertumbuhan tahun ke tahun secara purata adalah sebanyak -28.8 peratus pada suku kedua.

“Ia lebih buruk berbanding unjuran oleh RGM pada April 2020 iaitu sebanyak -9.3 peratus,” kata firma penyelidikan itu dalam laporannya pada bulan Julai yang disediakan sebagai perkhidmatan kepada ahli MRA.

RGM mengunjurkan industri itu akan merosot masing-masing sebanyak 3.5 peratus dan 1.5 peratus pada suku ketiga dan keempat.

Unjuran terbaru itu berbeza dengan pertumbuhan positif yang dijangkakan sebelumnya untuk kedua-dua suku berkenaan dalam Laporan Awal MRA mengenai Industri Runcit Malaysia ketika penularan COVID-19 (April 2020).

Bagi suku pertama tahun 2020, industri peruncitan Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif tahun ke tahun sebanyak 11.4 peratus, kata RGM.

Mengenai prestasi suku kedua, RGM berkata pusat beli-belah dan pasar raya menjangkakan prestasi suram dengan pertumbuhan negatif sebanyak 40.9 peratus untuk suku berkenaan.

Pengusaha pusat beli-belah telah menjangkakan akan berlaku penguncupan dalam perniagaan mereka sebanyak 62.8 peratus dan subsektor itu akan mencatatkan prestasi paling buruk antara subsektor peruncitan pada suku itu, katanya.

RGM berkata, subsektor peruncitan yang paling tidak terjejas pada waktu mencabar ini adalah pengusaha pasar raya dan pasar raya besar.

Bagaimanapun, mereka dijangka kekal di zon merah dengan penguncupan 14.8 peratus pada suku kedua, katanya.

“Peruncit di sektor aksesori fesyen dan fesyen menjangkakan perniagaan mereka akan mengalami kemerosotan kadar pertumbuhan sebanyak 39.3 peratus pada suku kedua 2020, berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Peruncit di subsektor farmasi, penjagaan diri dan di subsektor kedai lain seperti produk optik dan barangan terpakai menjangkakan perniagaan mereka untuk mencatatkan kadar pertumbuhan negatif masing-masing sebanyak 18.4 peratus dan 55.5 peratus.

RGM jualan runcit diunjur mengalami penurunan sederhana sebanyak 3.5 peratus untuk suku ketiga 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ia berkata, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihentikan sebelum Oktober, peruncit Malaysia boleh menjangkakan perniagaan mereka kembali pulih dengan jualan susut sebanyak 1.5 peratus pada suku keempat.-BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close