Malaysia

Trafik Harian Dijangka Melonjak 15 Peratus Mulai 10 Jun – PLUS

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik harian melonjak sehingga 15 peratus mulai esok, susulan keputusan kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula 10 Jun.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, unjuran itu berdasarkan catatan jumlah trafik harian sejak 4 Mei sehingga minggu terakhir Ramadan, yang menjangkau lebih sejuta kenderaan pada hari bekerja biasa dan meningkat dengan stabil ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dengan kenaikan yang stabil sejak 1 Jun, PLUS menjangkakan jumlah trafik melonjak antara 10 hingga 15 peratus setiap hari, bermula pada minggu pertama PKPP pada 12, 13, dan 14 Jun ini. PLUS yakin berupaya mengendalikan jumlah trafik sepanjang tempoh PKPP.

“Di bawah PKPP, kebanyakan gerai makanan (termasuk tempat makan) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan beroperasi mulai 15 Jun dan pelanggan berpeluang untuk menjamu selera di R&R, sambil mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Semua perkhidmatan Food Truck akan turut beroperasi di R&R dan hentian sebelah terpilih mulai 15 Jun. Bagaimanapun, kemudahan bersolat di surau masih tidak dibuka sehingga satu tarikh yang akan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman turut menyatakan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, kadar trafik harian PLUS adalah sebanyak 1.6 juta kenderaan sehari, dan jumlah itu meningkat kepada dua juta sehari pada musim-musim perayaan.

Selain itu beliau berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, pengendali lebuh raya itu memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) sejak pelaksanaan PKP, iaitu sentiasa membersih dan menyelenggara kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol.

PLUS turut menyediakan penanda jarak sosial bagi laluan menghala ke tandas awam, untuk memberi peringatan keselamatan kepada pelanggan lebuh raya termasuk peringatan mengelak aktiviti berkumpul di R&R.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman sesawang PLUS di www.plus.com.my atau menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close