GovernansMalaysiaPilihan Editor

MENJELANG PRU15: Bajet 2023 Tiada Kesan Sehingga Dibentangkan Semula

Bajet 2023 dilihat tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara sehingga dibentangkan semula kelak oleh kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan pada 19 November ini.

Namun begitu, penganalisis berkata, prestasi ekonomi negara akan disokong oleh pemulihan aktiviti domestik dan prestasi eksport yang kukuh pada 2022, berikutan pembukaan semula penuh ekonomi Malaysia pada suku kedua lalu.

Inter-Pacific Research Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, pembukaan semula ekonomi membantu ekonomi negara berkembang 6.9 peratus pada separuh pertama 2022 dengan momentum peningkatan domestik dan luaran, ditambah pula dengan keadaan pasaran pekerjaan yang stabil.

Melangkah ke separuh kedua 2022, ia berkata, peralihan ke fasa endemik dijangka terus menyokong ekonomi terhadap penggunaan swasta dan aktiviti perniagaan yang lebih baik.

“Malah, dengan cabaran global yang berterusan, aktiviti ekonomi negara kekal utuh dan akan terus disokong oleh sektor luaran yang kukuh dan menambah baik aktiviti domestik untuk baki tahun ini.

Mengulas tinjauan 2023, Inter-Pacific Research berkata, keadaan ekonomi negara mungkin akan perlahan pada 2023 sejajar dengan keadaan global yang lebih perlahan.

Justeru, ia berkata, risiko penurunan kekal meningkat bagi ekonomi Malaysia walaupun kemungkinan kemelesetan masih rendah disebabkan asas ekonomi negara yang pelbagai.

“Memandangkan prestasi eksport negara mungkin terjejas oleh permintaan perlahan global, ia boleh menimbulkan cabaran terbesar kepada ekonomi Malaysia pada 2023 dan pertumbuhan sektor pembuatan mungkin berkurangan kepada hanya 3.9 peratus berbanding unjuran pertumbuhan 6.3 peratus pada 2022.

“Permintaan untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) mungkin merosot sejajar dengan keadaan ekonomi global yang lebih perlahan, tetapi pembuatan berfokus tempatan mungkin kekal stabil di tengah-tengah peningkatan permintaan produk makanan dan bahan binaan,” katanya.

Inter-Pacific Research berkata, peningkatan pekerjaan yang berterusan, dengan kadar pengangguran secara meluas dijangka kekal di bawah empat peratus pada 2022, berkemungkinan bertambah baik pada 2023 dengan pada purata sekitar 3.5 peratus hingga 3.7 peratus di tengah-tengah pengembangan ekonomi yang mampan mengukuhkan prospek pekerjaan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close