Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Sangat memalukan ! Sangat biadap ! Sangat kurang ajar !
Inilah rumusan yang boleh disimpulkan hasil pemerhatian BacalahMalaysia.my yang mendapati mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini, diconteng pihak tidak bertanggungjawab.
Lebih tidak menyenangkan adalah terteranya perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah dalam kejadian yang dikesan.
Malahan mural potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menjadi sasaran perbuatan yang keji ini.
“Pihak berkuasa perlu segera ambil tindakan tegas terhadap perbuatan melampau pihak yang menconteng mural Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin2 negara di Shah Alam,” itu kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam entri ringkasnya di Facebook dan Twitter rasminya.
BERNAMA turut melaporkan selain potret Yang di-Pertuan Agong, wajah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, serta Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menghiasi dinding berkenaan.
Turut diabadikan pada dinding berlainan ialah potret pelawak tanah air Abam Bocey dan Yus Jambu. – BACALAHMALAYSIA.MY/BERNAMA