Ekonomi Islam & Global

25,000 Kedai Di AS Dijangka Tutup Selama-lamanya

Kira-kira 25,000 kedai di Amerika Syarikat (AS) akan ditutup selama-lamanya tahun ini selepas pandemik COVID-19 menjejaskan industri yang menyaksikan banyak peruncit yang tertumpu di pusat beli belah sudah sedia berdepan masalah.

Jumlah itu akan mengatasi rekod yang dicatatkan pada 2019, apabila lebih 9,800 kedai ditutup selama-lamanya, menurut laporan daripada firma data peruncitan dan teknologi, Coresight Research.

Kebanyakan penutupan itu akan berlaku di pusat beli-belah, dengan kedai pakaian dan gedung utama dijangka paling teruk terjejas.

“Jika penyewa utama menutup gedung di pusat beli-belah, penyewa lain mungkin akan menyusuli,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Coresight, Deborah Weinswig, dalam laporan itu, yang meletakkan jangkaan antara 20,000 hingga 25,000 kedai akan ditutup.

“Penutupan gedung utama dan pakaian akan mewujudkan kesan susulan yang memberi berita buruk kepada pusat beli-belah.”

AS mempunyai ruang runcit perkapita tertinggi di dunia dan jualan terendah bagi setiap kaki persegi, menurut syarikat hartanah komersial, Cushman & Wakefield.

Kebanyakan peruncit enggan mengecilkan rangkaian kedai masing-masing, namun pandemik memaksa mereka menyusun semula perniagaan.

Peruncit di AS berdepan masalah sejak pertengahan Mac lalu susulan penularan COVID-19.

Walaupun beberapa negeri mula melonggarkan sekatan, banyak kedai masih ditutup atau hanya menyediakan perkhidmatan yang terhad.

Setakat 5 Jun lalu, peruncit merancang kira-kira 4,000 penutupan kekal gedung, termasuk ratusan oleh J.C. Penney, Victoria’s Secret dan Pier 1 Imports.

Pada Mac, Coresight menganggarkan kira-kira 15,000 kedai akan ditutup pada 2020.

Selain penutupan, firma terbabit menjangkakan beberapa perniagaan akan bankrap kerana peruncit yang dibebani hutang semakin terhimpit.

Sebanyak 15 peruncit utama sudah memfailkan muflis tahun ini. -BLOMMBERG

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close