Pekerja informal Malaysia mencapai jumlah 3.5 juta orang tahun lalu atau 23.2 peratus daripada jumlah guna tenaga negara, lebih tinggi dari tahun sebelumnya, disumbangkan sebahagiannya oleh impak pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata tempoh berkenaan menyaksikan berlakunya mobiliti buruh dalam sektor ekonomi dengan mereka yang terjejas membuat pekerjaan informal bagi menampung kelangsungan hidup.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata dua juta daripada keseluruhan pekerja informal tahun lepas bekerja dalam sektor informal dan 1.5 juta lagi dalam sektor formal.
“Dalam masa sama, jurujual Internet dan pengatur cara analisis adalah antara kategori pekerjaan yang mencatatkan peningkatan tertinggi dalam sektor informal pada 2021,” katanya.
Beliau berkata, hampir dua pertiga daripada guna tenaga sektor informal tertumpu kepada sektor perkhidmatan iaitu 67.5 peratus, diikuti pembuatan (19.1 peratus) dan pembinaan (13.4 peratus).
Menurutnya, aktiviti perdagangan borong dan runcit seperti pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal mendominasi sektor perkhidmatan dengan sumbangan 24 peratus, diikuti aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman yang menyumbang 23.1 peratus.
Katanya, majoriti guna tenaga dalam sektor informal beroperasi di tempat kediaman (37.1 peratus), diikuti pasar atau gerai jalanan (29.2 peratus), tiada tempat tetap atau khusus (20.7 peratus), dan kilang, pejabat atau bengkel (13.0 peratus).
Guna tenaga dalam sektor informal di bandar mempunyai komposisi terbesar iaitu 2.35 juta orang pada 2021, manakala guna tenaga sektor informal di luar bandar adalah 1.15 juta orang.
Kajian itu turut menunjukkan 46.6 peratus atau 607,000 orang daripada guna tenaga sektor informal mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah, iaitu meningkat 4.5 peratus berbanding 555,500 orang pada 2019.
Katanyam lelaki yang bekerja dalam sektor informal termasuk pertanian kekal mendominasi dengan 2.13 juta orang diikuti 1.37 juta wanita. -BERNAMA