Keuntungan bersih AEON Co (M) Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM38.18 juta berbanding RM28.06 pada suku sama tahun lalu.
Pendapatan meningkat 10.5 peratus kepada RM1.1 bilion daripada RM1 bilion sebelumnya, kata pengendali pusat beli-belah runcit itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, dalam segmen perniagaan peruncitan, AEON mencatatkan pendapatan RM941.4 juta, menunjukkan pertumbuhan kukuh 9.8 peratus berbanding pendapatan RM857.4 juta pada suku sama sebelumnya, disumbangkan oleh perbelanjaan perayaan yang lebih tinggi dan aktiviti perniagaan kembali normal pada suku semasa.
Selain itu, segmen perkhidmatan pengurusan hartanah turut berkembang sebanyak 14.5 peratus, dengan mencatatkan pendapatan RM165.4 juta berbanding pendapatan sebanyak RM144.4 juta sebelumnya, dipacu oleh kadar sewaan yang lebih baik, sejajar dengan sentimen pengguna yang positif. -BERNAMA