Oleh Kamarulzaidi Kamis
SETIAP kali Malaysia Airlines mengumumkan pembelian pesawat Boeing, satu persoalan yang sama pasti bergema dalam kalangan rakyat: adakah ia satu keputusan perniagaan tulen atau sekadar langkah politik untuk ‘membeli jiwa’ kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS)?
Isu ini bukan baharu, tetapi ia kembali menjadi tumpuan setiap kali perjanjian besar dimeterai. Ia menyentuh sentimen nasionalisme, kedaulatan negara dan persoalan sama ada wang syarikat penerbangan kebangsaan kita dibelanjakan dengan bijak.

Namun, untuk memahami sepenuhnya kisah ini, kita tidak boleh melihatnya secara hitam putih. Analisis lebih mendalam mendedahkan satu realiti jauh lebih kompleks. Pembelian ini sebenarnya adalah satu strategi ‘serampang dua mata’ yang amat bijak, yang keperluan komersial mendesak disulam dengan mahir menjadi alat diplomasi ekonomi berkesan.
Persepsi bahawa urus niaga ini bersifat politik memuncak pada September 2017. Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, mengadakan pertemuan berprofil tinggi dengan Presiden Donald Trump ketika penggal pertamanya di White House.
Di dalam Bilik Kabinet ikonik itu, bukannya di ibu pejabat korporat, berdasarkan kenyataan White House pada 12 September 2017, Najib mengumumkan ‘cadangan nilai’ kepada AS, termasuk komitmen untuk membeli 25 pesawat Boeing 737 MAX 10 dan lapan pesawat 787 Dreamliners. Bahasa digunakan jelas bersifat diplomatik, bukan komersial.
Pengumuman ini dibuat di bawah tekanan amat hebat. Pentadbiran Trump ketika itu sedang lantang memulakan langkah dasar America First dan mengancam untuk mengenakan tarif perdagangan ke atas negara mempunyai lebihan dagangan dengan AS, termasuk Malaysia, lapor Asiatimes.
Ancaman tarif ini ibarat pedang Damocles yang tergantung di atas ekonomi negara. Justeru, tawaran pembelian pesawat ini dilihat secara meluas sebagai langkah strategik untuk meredakan ketegangan dan melindungi pengeksport Malaysia.
Pada masa sama, kerajaan berhadapan dengan tekanan antarabangsa akibat skandal 1MDB yang sedang disiasat secara aktif oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS.
Lawatan ke White House dan pengumuman perjanjian besar ini dilihat sebagai satu cara untuk mempamerkan imej positif di persada dunia.
Namun, situasi hampir sama berulang pada 2025, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan strategi hampir sama. Pembelian pesawat Boeing sekali lagi disahkan menjadi antara faktor penting dalam rundingan untuk mengurangkan kadar tarif AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Peristiwa ini membuktikan menggunakan pembelian pesawat yang sememangnya perlu sebagai alat diplomasi ekonomi menjadi satu strategi negara pragmatik dan berkesan, merentasi perbezaan fahaman politik.
Di sebalik semua drama politik ini, wujud satu kebenaran sering diabaikan: Malaysia Airlines ketika itu sememangnya amat terdesak untuk mendapatkan pesawat baharu.

Sekitar 2017, Malaysia Airlines sedang dalam fasa pemulihan rapuh selepas melalui penstrukturan semula pada 2015.
Ia beroperasi dengan kumpulan pesawat semakin tua, terutama Boeing 737-800 dan Airbus A330, yang tidak lagi efisien dari segi penggunaan bahan api.
Keperluan pesawat moden jimat minyak
Dalam industri penerbangan yang sangat kompetitif dengan perang harga sentiasa berlaku, kos bahan api adalah faktor penentu antara untung dan rugi. Tanpa pesawat moden lebih jimat minyak, Malaysia Airlines akan sentiasa ketinggalan di belakang pesaingnya.
Bukti paling kukuh ialah perancangan dalaman syarikat itu sendiri. Beberapa bulan sebelum lawatan ke White House, laporan media pada Mei 2017 mendedahkan Malaysia Airlines sudahpun mempunyai pelan pemodenan armada pesawatnya.
Laporan itu mengesahkan Malaysia Airlines sudah mempunyai tempahan untuk 25 pesawat Boeing 737 MAX dan sedang aktif menimbang antara Airbus A330neo dan Boeing 787 untuk menggantikan pesawat A330 lamanya.
Ini membuktikan keperluan komersial itu tulen dan sudah wujud lebih awal.
Ujian sebenar bagi sesebuah keputusan terletak pada hasil akhirnya. Komitmen untuk membeli pesawat badan lebar Boeing 787 Dreamliners diumumkan di White House akhirnya luput begitu sahaja tanpa sebarang pembelian dimuktamadkan ketika itu.
Sebaliknya, Malaysia Aviation Group (MAG) ketika itu membuat keputusan perniagaan untuk membeli 40 pesawat Airbus A330neo dari Eropah. Pilihan ini dibuat kerana A330neo menawarkan pakej ekonomi lebih baik untuk Malaysia Airlines.
Sebab utamanya ialah ‘kesinambungan operasi’. Oleh kerana Malaysia Airlines sudah lama menggunakan pesawat A330, juruterbang tidak perlu dilatih semula secara besar-besaran dan kos penyelenggaraan juga jauh lebih rendah, di samping kos pembelian lebih kompetitif.
Bagi pesawat jarak dekat pula, MAG kekal dengan Boeing 737 MAX. Ini juga adalah keputusan amat logik. Malaysia Airlines sudah membina keseluruhan sistem operasi, latihan juruterbang dan penyelenggaraannya di sekeliling pesawat 737 selama lebih 50 tahun.
Untuk beralih kepada jenama lain seperti Airbus A320neo akan menelan belanja sangat besar dan tidak praktikal. Oleh itu, meneruskan legasi 737 dengan model MAX lebih jimat bahan api adalah pilihan paling bijak dan menguntungkan.
Jelas sekali, pembelian pesawat Boeing ini bukanlah satu isu mudah. Ia adalah gabungan pintar antara keperluan diplomatik dengan kemestian komersial.
Kerajaan, baik dahulu mahupun sekarang, dengan bijak menggunakan satu keperluan perniagaan sah sebagai alat tawar-menawar strategik untuk melindungi kepentingan ekonomi negara daripada ancaman tarif.
Pada masa sama, syarikat penerbangan negara tidak dipaksa membuat keputusan merugikan. Mereka tetap memilih pesawat paling sesuai dan paling menguntungkan untuk operasi jangka panjang mereka.
Pada akhirnya, ia adalah satu tindakan perlu dari sudut diplomasi dan satu tindakan bijak dari sudut perniagaan. Ia adalah contoh cemerlang bagaimana kepentingan korporat dan kepentingan negara boleh diselaraskan untuk mencapai kemenangan bagi kedua-dua pihak. – BH ONLINE
- Penulis adalah Pengarang Ekonomi BH




