Dokumen Dasar Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan (FTFC) yang disemak membolehkan penyedia perkhidmatan kewangan (PPK) mengambil tindakan untuk lebih memahami pengguna rentan dan memberikan bantuan yang diperlukan, kata jurucakap Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM menjelaskan PPK kini dikehendaki mengenal pasti pengguna yang mengalami kerentanan, mengambil kira keperluan pengguna dalam pembangunan produk, meningkatkan kemahiran kakitangan, serta menambah baik perkhidmatan dan komunikasi pelanggan.
Dokumen Dasar bagi Pembiayaan Peribadi turut memperkenalkan keperluan baharu untuk menggalakkan amalan lebih berhemat dan memperkasakan pengguna supaya membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat. Berkuat kuasa 1 Januari 2027, dasar ini menetapkan larangan pinjaman berkadar rata dan kaedah Peraturan 78 yang dilihat tidak adil kerana faedah dikenakan ke atas keseluruhan prinsipal walaupun baki pinjaman berkurangan.
BNM menegaskan peralihan kepada kaedah baki berkurangan akan membawa hasil lebih adil kepada pengguna, sejajar dengan pindaan Akta Sewa Beli 1967 (HPA 1967) yang dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2025. Akta ini dijangka berkuat kuasa pada separuh pertama 2026. Bank-bank akan diberikan tempoh tangguh selama 18 bulan untuk menyesuaikan sistem dan infrastruktur bagi melaksanakan kaedah baki berkurangan, dan bank yang siap lebih awal boleh menawarkan produk ini dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
Selain itu, bermula 1 Januari 2027, pengguna yang memohon pembiayaan peribadi melebihi RM100,000 diwajibkan melengkapkan modul pendidikan kewangan selama 15 minit bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau PPK. Modul ini bertujuan membantu pengguna menilai keperluan pembiayaan, memahami risiko kebankrapan dan mengira kos tambahan yang mungkin tidak disedari pada awalnya. – BERNAMA




