GovernansMalaysiaPilihan Editor

PARLIMEN: Isu 40 peratus hasil Sabah – Alasan penghakiman menyatakan kerajaan negeri, Persekutuan sejak 1974 bertindak tidak berperlembagaan perlu dipadamkan – Anwar

Kerajaan Persekutuan perlu memadamkan alasan penghakiman mahkamah dalam isu hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah, yang menyatakan kerajaan di peringkat negeri itu dan juga Persekutuan sejak 1974 bertindak secara tidak berperlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehubungan itu rayuan yang akan difailkan hanya berkisar alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tak rasional dan malah serta mengaitkan kesilapan besar dibuat kerajaan sejak 1974.

Justeru beliau sekali lagi menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.

Mengulas lanjut, katanya alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu membawa maksud Kerajaan Persekutuan di bawah teraju Perdana Menteri terdahulu iaitu Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah sekarang, selain kerajaan negeri di bawah Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Fuad Stephens sehingga sekarang serta Ahli Parlimen yang terbabit dalam kerajaan sejak 1974 sehingga hari ini, semuanya diputuskan sebagai terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran.

“Keputusan (mahkamah yang menyatakan) kita ketepikan Perlembagan negara, satu keputusan yang mesti dirayu kerana kita mengharapkan ia dibatalkan mahkamah atas sudut tuduhan keras ke atas semua kerajaan sejak 1974.

“Ini satu keputusan yang sangat serius, sebab itu saya harap Ahli Parlimen baca alasan penghakiman (dibuat Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu) kerana ini berbeza. Saya tak mahu ini jadi polemik dalam isu 40 peratus (pemberian khas),” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai rasional keputusan Kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebaliknya dibuat ke atas alasan kecacatan dalam isu lain kes terbabit serta implikasi keputusan itu.

Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak boleh berdiam apabila dituduh bertindak ‘unconstitutional’ (tidak berperlembagaan) sejak 1974.

“Apakah kita boleh berdiam tanpa membatalkan rekod yang mengatakan terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran.

“Ini belum pernah berlaku keputusan (dibuat) mahkamah sebegitu keras dan melibatkan seluruh kerajaan sejak 1974,” katanya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.

Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah sejak 1974.

Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

Perkara itu mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Hakim bersidang, Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

Dua isu berbeza

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Anwar berkata tidak wujud percanggahan dalam kenyataan media dibuat Jabatan Peguam Negara Selasa lalu, kerana kerajaan mahu mengasingkan dua isu berbeza iaitu keputusan menghormati semangat Perlembagaan dan alasan penghakiman dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, alasan penghakiman disebut itu tidak rasional ketika 2021 termasuk Kota Bharu (Takiyuddin) yang ketika itu (dilantik) Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang).

“Kita kena ingat, ini serius dan apakah Kota Bharu mahu terima tuduhan terbabit… kita rasa tak sesuai kerana dalam menjalankan tugas rasmi kerajaan, apalagi bila disebut mengenai tidak berperlembagaan sejak 1974, sebahagian keputusan dikaitkan dalam penghakiman.

“Jadi, alasan dan juga ‘substantive order’ itu kita rasa perlu dirayu serta beberapa rekod harus dipadamkan kerana kita rasa tak adil (dan) tak tepat kerana menghukum semua kerajaan,” katanya.- BH ONLINE/BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close