MalaysiaPilihan Editor

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Memandang Serius Isu Kartel Daging Haram & Perlu Diselesaikan Secara Tuntas – Pengerusi

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara memandang serius isu kartel daging haram yang berlaku di negara ini, tegas Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris.

Dalam satu kenyataan medianya, beliau menegaskan isu ini perlu diselesaikan secara tuntas oleh pihak berwajib apatah lagi membabitkan soal maruah umat Islam di negara ini.

Dalam soal ini, Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia menegaskan isu kartel daging haram hendaklah disiasat secara mendalam dan mengalu-alukan satu pasukan khas terdiri dari Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam hal yang sama, beliau berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara akan memanggil agensi berkaitan dengan pembekalan dan pengimportan daging ke negara ini bagi mendapat penjelasan dan fakta yang lebih tepat, wajar dan berkepentingan kepada kesejahteraan rakyat.

“Saya juga menggesa supaya Kerajaan mendedahkan jenama produk daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya yang dijual di pasaran tempatan dalam tempoh yang terdekat ini.

Sehubungan itu, Kerajaan juga perlu mengenal pasti sesegera yang mungkin membongkarkan dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status halalnya, adakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal di luar negara (negara import), mengenal pasti prosedur Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) serta kelulusan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Justeru itu, Razali berkata, adalah menjadi satu tanggungjawab besar Dewan Negara yang telah membenarkan usul ini dibahaskan dan disegerakan di atas kepentingan awam dan kepentingan keselamatan, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta negara. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close