Turun Naik

AI menghakis identiti penulis ?

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap kehidupan moden termasuk dunia penulisan. Teknologi yang seharusnya jadi alat bantu, kini semakin berperanan dalam menghasilkan idea, menyusun ayat dan menyiapkan karya dalam tempoh singkat.

Namun, sejauh mana karya yang dijana oleh AI dianggap karya asli, dan dalam keadaan apa ia disifatkan sebagai memudahkan kerja penulisan?

Perkembangan ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan penulis, penerbit dan ahli akademik. Ada yang melihat AI sebagai teknologi yang mampu memperkasa industri penulisan, manakala sebahagian lain bimbang ia boleh menghakis identiti, kreativiti dan suara asli penulis.

Pensyarah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Siti Suriani Othman, berkata penggunaan AI sebagai rujukan dalam penulisan tidak menjadi masalah selagi penulis menulis semula dengan menggunakan ayat sendiri.

Namun, sekiranya sesuatu karya itu dihasilkan sepenuhnya oleh AI dan diakui sebagai hasil penulisan sendiri, ia salah dari segi etika.

“Secara prinsipnya, penulisan perlu datang daripada usaha dan pemikiran penulis sendiri, bukan semata-mata hasil yang dijana oleh AI.

“Keaslian merujuk kepada karya yang ditulis sendiri oleh penulis menggunakan idea dan ayat sendiri. Dalam era digital, penulisan menjadi lebih mudah dengan pelbagai bantuan teknologi. Namun, karya asli tetap menuntut usaha individu.

“Ia berbeza dengan karya terjemahan, yang mengekalkan maksud asal tetapi ditukar bahasa, karya asli perlu mencerminkan pemikiran penulis sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, AI boleh membantu penulisan tanpa menjejaskan identiti dan suara penulis sekiranya digunakan sebagai rujukan sahaja. Selebihnya, penulis masih perlu menulis berdasarkan pandangan dan gaya sendiri.

Hanya alat bantu

Katanya, masalah hanya timbul apabila penulis bergantung sepenuhnya kepada AI tanpa sumbangan idea peribadi, yang boleh menjejaskan keaslian identiti penulis.

Menyifatkan penggunaan AI adalah sama seperti penggunaan buku atau sumber lain sebagai rujukan, jadi ia dibenarkan selagi tidak menyalin bulat-bulat.

“Jika penulis meniru secara langsung, ia tetap dianggap sebagai plagiarisme. Garis pemisah utama ialah pemahaman dan pengamalan etika penulisan. Bukan sekadar mengetahui, tetapi juga mengamalkannya dalam penulisan,” katanya.

Tambah Siti Suriani, ada juga kebimbangan bahawa penggunaan AI boleh menjejaskan nilai dan penghargaan terhadap penulisan kerana kemudahannya untuk menyalin dan mengubah teks. Tambahan pula, teknologi yang semakin canggih menyukarkan pengesanan karya yang dijana AI.

Justeru, AI perlu diguna secara seimbang, ia boleh membantu penulis, terutamanya dalam memahami sesuatu topik, selain memperbaiki aspek teknikal penulisan. Namun, prinsip asas tetap sama iaitu AI tidak boleh menggantikan keaslian penulis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Booktube Malaysia dan aktivis perbukuan, Hafiz Latiff, berkata karya AI masih boleh diklasifikasikan sebagai karya asli sekiranya digunakan sebagai alat dan bukan pengganti pemikiran.

Katanya, keaslian itu bergantung kepada kawalan intelektual dan suara pengarang, bukan semata-mata proses teknikal.

“Sebagai kurator kandungan dan perunding dalam industri perbukuan, saya melihat AI bukan ancaman, tetapi alat yang perlu diurus dengan disiplin.

” Masa depan penerbitan akan ditentukan oleh keupayaan kita mengekalkan integriti, sambil memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab.

“Dalam konteks penerbitan hari ini, keaslian merangkumi idea, garapan, olahan, pelaksanaan, serta gaya kepengarangan. Penekanan kini lebih tertumpu kepada keunikan pemikiran yang dibawa oleh penulis,” katanya.

Bukan ganti penulis

Tegasnya, penggunaan AI dalam manuskrip dilihat sebagai sesuatu yang boleh diterima, namun ia perlu disertai dengan pendedahan yang jelas, tidak melanggar hak cipta, dan bukan menggantikan peranan penulis sepenuhnya.

Katanya, dari sudut keputusan penerbitan, AI memang memberi pengaruh, tetapi ia bukan faktor utama. Kualiti kandungan, kekuatan suara penulis dan risiko berkaitan hak cipta kekal menjadi pertimbangan utama.

Industri juga katanya, sedang bergerak ke arah pengenalan garis panduan yang lebih jelas berkaitan penggunaan AI, khususnya dari aspek pendedahan dan tanggungjawab terhadap hak cipta.

“Semakan keaslian kini perlu dilakukan dengan lebih teliti berbanding sebelum ini. Penerbit bukan sahaja bergantung kepada alat semakan, tetapi juga penilaian editorial serta akauntabiliti penulis itu sendiri.

“Dari segi kreativiti pula, nilai tambah manusia tetap menjadi ukuran utama termasuk perspektif, pengalaman, emosi dan makna yang tidak mampu dijana sepenuhnya oleh AI,” katanya.

Kata Hafiz, antara cabaran terbesar ialah ketidakjelasan undang-undang, risiko pelanggaran hak cipta tanpa disedari, serta kesukaran dalam proses pembuktian.

“Dari segi reputasi penerbit, penggunaan AI boleh memberi kesan sekiranya tidak diurus dengan telus. Kepercayaan pembaca bergantung kepada integriti kandungan yang diterbitkan,” katanya.

Melihat ke hadapan, Hafiz berpandangan AI dijangka mempercepatkan proses penerbitan, namun nilai sebenar industri buku masih terletak pada proses kurasi dan pemikiran kritikal.

Justeru, penggunaan AI dalam penulisan bukanlah sesuatu yang harus ditolak sepenuhnya, tetapi perlu diurus dengan berhemah dan beretika.

AI boleh menjadi alat yang membantu mempercepat proses, memperkaya idea dan memudahkan pemahaman, namun ia tidak boleh menggantikan peranan utama penulis sebagai pencetus pemikiran dan penghasil karya asli. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close