Oleh Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin
Malaysia melangkah ke 2025 dengan membawa prestasi ekonomi agak baik.
Tahun lalu, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1 peratus bagi keseluruhan 2024, berbanding 3.6 peratus pada 2023.
Namun begitu, satu cabaran utama kepada ekonomi negara pada 2025 adalah ketidaktentuan dalam dasar serta strategi ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang juga dikenali sebagai Trumponomics.
Ketika ini, ekosistem perdagangan global dan geopolitik dunia sudah pun bergolak sejak Trump menjadi Presiden AS ke-47 pada awal tahun ini. Beberapa siri kenaikan tarif sudah dilaksanakan.
Sebagai contoh, tarif import dari China dinaikkan secara kumulatif sekitar 20 peratus. AS juga memperkenalkan tarif ke atas import keluli dan aluminium sebanyak 25 peratus.
Terkini, Trump mengumumkan AS akan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS dan duti yang lebih tinggi ke atas puluhan negara lain.
Negara anggota wilayah Indo-China ASEAN paling teruk terjejas akibat tarif itu dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia (32 peratus), Brunei dan Malaysia (masing-masing 24 peratus), Filipina (17 peratus) dan Singapura pada tarif asas 10 peratus. Semua ini mengakibatkan dasar timbal balik daripada negara terkesan secara langsung.
Ini dapat dilihat terhadap apa yang dilaksanakan China kepada AS, misalnya dengan menaikkan tarif import terhadap produk pertanian dan tenusu AS, begitu juga dengan tenaga dan jentera pertanian dari AS. China melaksanakan siasatan antimonopoli kepada beberapa syarikat dari AS, seperti Google dan beberapa firma bioteknologi beroperasi di China.
Di negara Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada pula, reaksi timbal balik mereka adalah seperti mengenakan tarif ke atas minuman beralkohol serta barangan pembuatan dari AS. Jika dilihat dalam media sosial seperti di platform TikTok, rakyat Kanada sudah melancarkan kempen memboikot barangan daripada AS secara besar-besaran.
Sememangnya, keadaan ini, jika berterusan akan mengakibatkan gangguan kepada struktur rantaian global secara keseluruhannya. Semua ini akhirnya tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada ekonomi dan perdagangan dunia.
Bagi Malaysia, persoalan asas di sini adalah, apakah dasar serta strategi terbaik untuk mengurangkan kesan negatif mendepani dasar ekonomi Trump 2.0 kepada ekonomi Malaysia?
Malaysia bakal menerima tempias secara langsung daripada dasar ekonomi Trump ketika ini. Namun, kita tidak pasti dalam masa terdekat atau pada pertengahan tahun ini. Kesan tidak langsung sudah pun dirasai seperti ketidaktentuan pada pergerakan ringgit dan saham tempatan.
Kesan terhadap prospek prestasi perdagangan
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjangkakan ada kesan negatif terhadap prospek prestasi perdagangan negara pada tahun ini, terutama pengenaan tarif secara meluas terhadap industri semikonduktor.
Serentak itu, atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Tengku Zafrul akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April ini.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan implikasi lebih meluas daripada langkah tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta kestabilan makroekonomi. Malaysia juga mungkin terkesan akibat jangkaan pengenaan tarif terhadap produk getah, koko, kenderaan, alkohol dan tembakau.
Selain itu, gangguan kepada rantaian bekalan global juga dijangka memberi kesan secara tidak langsung kepada ekonomi Malaysia, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), antara komponen terbesar dalam sektor luar negara.
Ketika era Trump kali pertama menjadi Presiden pada 2017 hingga 2021 (Trump 1.0), ekonomi Malaysia tidak begitu dihambat dengan teruk akibat Trumponomics. Pada 2017 misalnya, ekonomi Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi agak memberangsangkan, iaitu pada kadar 5.9 peratus.
Transformasi ekonomi berlaku pada ketika itu memungkinkan ekonomi negara beralih ke arah status negara berpendapatan tinggi. Namun begitu, pada 2018 sehingga 2021, tidak dapat dinafikan prestasi ekonomi negara agak terganggu dan mengalami krisis ekonomi pada 2020.
Namun begitu, perlu dijelaskan bahawa apa yang berlaku pada 2018 sehingga 2021 tidaklah sepenuhnya berpunca daripada dasar ekonomi Trump ketika itu. Ia lebih kepada faktor lain, seperti pandemik COVID-19 dan faktor dalaman seperti ketidaktentuan dalam pengurusan ekonomi dan ketidakstabilan politik yang berlaku.
Maka, adalah penting untuk kerajaan mengambil iktibar daripada sejarah, iaitu kepentingan mengekalkan kestabilan politik sedia ada dalam mendepani cabaran Trump 2.0 yang baru sahaja bermula.
Kerajaan perlu memastikan apakah tindakan proaktif perlu dibuat untuk lebih responsif terhadap apa yang berlaku dalam konteks kerangka Ekonomi MADANI. Ini untuk memastikan kekuatan ekonomi kekal utuh, daya saing ekonomi dapat ditingkatkan serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin. Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan pasaran perdagangan dan pelaburan negara dipelbagaikan.
Ia termasuk menceburi dalam pasaran negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), negara anggota BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) serta menggunakan peluang sepenuhnya dalam perjanjian multilateral sedia ada seperti Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP).
Selain itu, Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan bersama seperti pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada Januari lalu.
Dengan adanya kestabilan politik, disertakan dengan dasar serta strategi komprehensif dan proaktif, kesan negatif daripada dasar ekonomi Trump 2.0 dapat diminimumkan. Bukan itu sahaja, jika apa yang dilakukan tepat pada masanya, Malaysia boleh mendapat kesan positif terhadap ketidaktentuan ekonomi global berlaku ketika ini. – BH ONLINE
- Penulis adalah Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (Ecofi), Universiti Utara Malaysia.