Turun Naik

ANALISIS: BN Johor perlu buktikan kuasai 48 DUN bukan ‘cek kosong’

Oleh Dr Mohamad Tawfik Yaakub

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 amat mengejutkan semua pihak susulan kemenangan luar jangkaan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh lapan kerusi.

Andaian awal kadar keluar mengundi tinggi akan memberikan kemenangan kepada PH ternyata meleset sama sekali apabila peningkatan keluar mengundi tinggi, iaitu 68.73 peratus memberi kemenangan besar kepada BN di Johor.

Kemenangan BN ini juga isyarat jelas sebahagian besar rakyat Johor memilih kesinambungan, kestabilan dan kepimpinan negeri.

Antara faktor terpenting kejayaan BN ialah kelebihan gabungan itu sebagai kerajaan penyandang dan populariti kepemimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar.

Antara daya penarik kepada pengundi ialah naratif peningkatan pelaburan, peluang pekerjaan, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek pengangkutan dan imej pentadbiran aktif senjata paling ampuh untuk BN memenangi hati bangsa Johor.

Naratif ini sebenarnya lebih meyakinkan berbanding janji dan tawaran perubahan belum mempunyai bukti pelaksanaan pada peringkat negeri.

Di samping itu, kekuatan jentera BN ditunjangi UMNO, MCA dan MIC dilihat sebagai rangkaian fiber politik berjaya meresap hingga ke peringkat akar umbi menerusi kerja keras cawangan, bahagian, petugas dan pemimpin masyarakat yang mampu bergerak menerobosi ruang kempen hingga ke kampung, FELDA, estet dan kawasan bandar.

Menerusi PRN Johor kali ini, BN bukan sahaja mempertahankan kubu Melayu, malah berjaya menawan kerusi campuran dan beberapa kawasan sebelumnya dikuasai DAP.

Tindakan Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding di 23 kerusi juga memberi manfaat kepada BN apabila sebahagian pengundinya memilih calon BN, khususnya di kawasan menyaksikan pertembungan langsung dengan PH.

Kejayaan MCA memenangi lapan kerusi, mengatasi enam kerusi DAP isyarat jelas ‘tsunami Cina’ mula masuk ke Semenanjung bermula daripada PRN Sabah pada November lalu.

Kemenangan MCA di beberapa kerusi DUN yang menjadi kubu kuat DAP seperti Jementah, Tangkak dan Johor Jaya serta kejayaan MIC merampas Perling membuktikan penolakan pengundi kaum Cina terhadap BN berakhir.

Berdasarkan penilaian keputusan PRN, pengundi kaum Cina kini lebih terbuka menilai calon, prestasi kerajaan negeri dan kestabilan ekonomi, berbanding kesetiaan mutlak kepada satu parti.

Kekalahan PH sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor bukan sahaja gagal membina naratif negeri jelas, malah menyebabkan peralihan undi besar daripada pengundi setia dan muda sebelumnya memihak gabungan itu.

Tidak dinafikan PH menawarkan pelbagai manifesto menarik berkaitan kesihatan, rumah mampu milik dan pekerjaan, namun tawaran itu tidak berjaya meyakinkan pengundi.

Di samping itu, terdapat pemimpin berkempen menggunakan perkataan dan bahasa keras sehingga mengguris emosi rakyat Johor, sekali gus menimbulkan kemarahan diterjemahkan menerusi undi.

Selain itu, tindakan PH tidak mengumumkan ‘poster boy’ sebagai Menteri Besar lebih awal turut menggambarkan gabungan itu tidak bersiap sedia untuk menjadi kerajaan negeri.

Dalam konteks kerjasama politik, PH juga terperangkap dalam hubungan politik sukar dijelaskan, misalnya di Putrajaya, PH dan BN bekerjasama dalam konteks Kerajaan Perpaduan, namun di Johor mereka bertanding sebagai musuh politik.

Keadaan ini sebenarnya menumpulkan serangan PH terhadap BN dan menimbulkan persoalan serta kekeliruan dalam kalangan pengundi mengenai perbezaan sebenar kedua-dua gabungan terbabit.

Kepercayaan penyokong tradisional

Pada masa sama, isu sering dibualkan rakyat seperti kos sara hidup, beberapa dasar membebankan perniagaan kecil dan kenaikan cukai 30 peratus hingga 40 peratus ketika menerajui kerajaan negeri pasca PRN14 lalu turut menghakis kepercayaan sebahagian penyokong tradisional gabungan berkenaan.

Berdasarkan keputusan PRN ini, tidak boleh dinafikan PH masih sukar menembusi kawasan Melayu, FELDA dan separa bandar. Gabungan ini terlalu bergantung kepada pengundi bandar dan bukan Melayu.

Kejayaan PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang hanya memenangi satu kerusi menjelaskan PH belum mempunyai tapak Melayu kukuh di Johor.

Pasca PRN Johor, kerajaan baharu yang bakal dibentuk ini mesti membuktikan kemenangan 48 kerusi bukan ‘cek kosong’.

Langkah segera perlu dilakukan BN ialah menubuhkan unit pelaksanaan manifesto di bawah Menteri Besar dengan menyediakan laporan kemajuan setiap tiga bulan, garis masa, penjelasan kos, mengenalpasti agensi bertanggungjawab dan memastikan petunjuk prestasi dihebahkan supaya boleh disemak rakyat.

Keutamaan perlu diberikan kepada pekerjaan bergaji tinggi, rumah mampu milik, bekalan air, banjir, kesesakan jalan raya dan kos sara hidup.

Pelaburan besar mesti diterjemahkan kepada pemerkasaan anak Johor dan melaksanakan usaha memangkin peningkatan gaji tidak lagi bergantung kepada ‘tarikan dolar’ negara jiran, malah perlu mengelakkan permainan retorik pengumuman angka semata-mata.

Kerajaan Johor juga tidak boleh hanya menumpukan pembangunan di Johor Bahru dan koridor sempadan Singapura sahaja, sebaliknya perlu sampai ke Mersing, Segamat, Muar, Batu Pahat dan kawasan luar bandar.

Cabaran besar menanti pentadbiran kerajaan baru BN di Johor dalam tempoh 100 hari pertama selepas tamatnya pilihan raya. Tempoh ini masa untuk mengisi kemenangan menerusi lonjakan prestasi dan penambahbaikan pentadbiran bagi menunaikan janji.

Bagi kerajaan negeri dan wakil rakyat di Johor, mereka perlu sedar bukan sahaja rakyat memerhati prestasi mereka, bahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sentiasa memantau perjalanan pentadbiran dan prestasi kerajaan negeri. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close