Pilihan EditorTurun Naik

Belanjawan Menyeluruh Tingkat Taraf Ekonomi, Sosial Rakyat – Penganalisis

Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

PEMBENTANGAN belanjawan kerajaan Persekutuan sememangnya menjadi suatu ritual yang akan diamati segenap lapisan masyarakat.

Apa tidaknya, selepas hampir dua tahun negara kita terkesan akibat penularan wabak COVID-19, harapan untuk keluar daripada kemelut ini semakin menggunung.

Kebenaran untuk merentas negeri baru-baru ini dilihat sebagai isyarat utama bahawa ekonomi negara bakal mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih baik pada masa akan datang.

Perkara ini ditambah pula dengan data ekonomi yang kian memberangsangkan.
Terbaru, data eksport negara mencatatkan lonjakan tinggi, iaitu 24.7 peratus bagi September lalu, melepasi jangkaan penganalisis ekonomi, iaitu 14.6 peratus.
Kadar pengangguran juga kian menurun ke paras 4.6 peratus bagi Ogos berbanding 4.8 peratus bagi bulan sebelumnya. Jumlah individu yang menganggur pula adalah 748,800 penganggur bagi Ogos berbanding 778,200 pada Julai lalu.

Ini bermakna pengurangan hampir 30,000 orang dalam jumlah mereka yang menganggur. Dengan kata lain, sudah semakin ramai rakyat yang mendapat pekerjaan kembali.

Angka ini bakal dicapai dengan jangkaan pungutan hasil diunjurkan meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM234 bilion pada 2022.

Jumlah perbelanjaan pula disasarkan kepada RM332.1 bilion bagi 2022 berbanding RM320.6 bilion bagi tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 3.6 peratus.

Ini bermakna dasar fiskal diamalkan kerajaan ialah dasar fiskal mengembang, iaitu suatu dasar yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Justeru, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus bagi 2022 berbanding antara 3 peratus hingga 4 peratus pada tahun ini.

Pendekatan diambil dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kelmarin, hampir serupa dengan Belanjawan 2021 yang fokus sentiasa diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi terutama bagi golongan rentan dan terjejas.

Bantuan tunai seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM2,000; bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 dan pelbagai subsidi melebihi RM31 bilion yang diberikan dalam belanjawan bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera itu menunjukkan bahawa kerajaan begitu prihatin terhadap kesusahan dihadapi rakyat.

Di samping itu, isu berkaitan pandemik COVID-19 masih menjadi tumpuan utama yang peruntukan RM4 bilion bagi tujuan meningkatkan kapasiti sektor kesihatan dan pembelian vaksin tambahan juga diberikan perhatian.

Selain itu, aspek penguatkuasaan terhadap keganasan rumahtangga yang dilihat menular ketika waktu pandemik juga mendapat perhatian.

Sejumlah RM13 juta akan diperuntukkan untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak yang 100 perjawatan baharu akan diwujudkan bagi tujuan ini.

Di samping itu, kerajaan juga menyebut berkenaan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal yang bakal dibentangkan pada tahun hadapan.

Akta ini akan membolehkan pengurusan kewangan kerajaan dapat dijalankan dengan telus dan berdisplin.

Perkara ini seharusnya boleh membantu dalam proses konsolidasi fiskal terutama dari segi mengawal kedudukan defisit fiskal dan tahap hutang kerajaan.

Ini juga bermakna risiko bagi penurunan penarafan kredit oleh agensi penarafan dapat dikurangkan.

Sehubungan itu, perkara seperti ini perlu disegerakan bagi membina keyakinan dalam kalangan pelabur, peniaga serta rakyat secara amnya.

Selain itu, program I-TEKAD, iaitu program kewangan sosial menawarkan modal permulaan, kredit mikro dan latihan kemahiran kepada usahawan mikro, juga dilihat bakal diperluaskan dengan peruntukan sejumlah RM20 juta.

Program yang pertama dilancarkan bersama Bank Islam Malaysia Berhad, SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAWIP) mencatatkan kejayaan.

Ini berikutan sebahagian peserta program daripada golongan asnaf dan B40 berjaya membuat simpanan, menggaji pekerja dalam perniagaan mereka dan yang penting sekali, ada yang sudah mula membayar zakat.

Ia bermakna program ini berjaya mewujudkan apa yang dikatakan mobiliti sosial ke atas atau social upward mobility melalui aktiviti keusahawanan.

Kesimpulannya, belanjawan kali ini dilihat komprehensif dengan mengambil kira pelbagai aspek untuk memastikan ekonomi negara akan terus pulih pada tahun hadapan.

Justeru, rakyat diseru untuk cakna terhadap apa yang diumumkan dan bertindak segera supaya kesempatan yang ada ini dapat digunakan untuk meningkatkan dan memperbaiki taraf ekonomi sendiri.

  • Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close