Pilihan EditorTurun Naik

Teks penuh bacaan kedua oleh Perdana Menteri, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan)

Tan Sri Yang di-Pertua,

A) PENDAHULUAN

1. Rang Undang-Undang yang akan saya bentangkan ini bertujuan untuk meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Sebelum ini, Rang Undang-Undang mengenai pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Santubong untuk Bacaan Pertama di Dewan Rakyat pada 11 April 2022 yang lalu.

2. Kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau “lompat parti” atau dengan izin, “defection”, “party jumping” atau “floor crossing” yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum. Ini kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka di Dewan Rakyat.

Sebanyak 12 sesi libat urus yang komprehensif dengan pihak-pihak berkepentingan telah diadakan seawal 23 November 2021 hingga 10 April 2022, melibatkan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

4. Berdasarkan input dan pandangan daripada semua sesi libat urus tersebut serta keputusan Kerajaan pada 11 Mac 2022 dan 6 April 2022, sidang khas Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat telah diadakan pada 11 April 2022. Ini selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dibacakan kali yang pertama dan diikuti perbahasan dalam proses bacaan kali yang kedua.

5. Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian semua ahli Yang Berhormat bahawa sidang Mesyuarat Majlis Khas Dewan Rakyat pada 11 April 2022 berpandangan bahawa pindaan asal Perlembagaan Persekutuan melalui Rang Undang-Undang ini perlu diteliti semula dari aspek penetapan dasar yang lebih jelas. Pendirian sidang Mesyuarat Majlis Khas Dewan Rakyat tersebut diambil perhatian dan Kerajaan berpendirian untuk menggubal peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang memenuhi ekspektasi semua pihak.

6. Susulan perkara tersebut, sidang yang sama seterusnya meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas yang bukan sahaja diwakili oleh pihak Kerajaan bahkan pihak Pembangkang, untuk membuat syor berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti di bawah Peraturan 81(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membuat syor-syor mengenai:

(i) meneliti dan memberi pengkhususan ke atas tafsiran kepada larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan merujuk kepada Fasal 2(c) dan Fasal 3, sekatan-sekatan ke atas hak membentuk persatuan yang diberi oleh perenggan (c) fasal 1;

(ii) cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu; dan

(iii) menyediakan satu penyata yang mengandungi cadangan rang undang-undang berkaitan dengan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta pindaan Perlembagaan berkaitan dalam tempoh satu bulan. Jawatankuasa Pilihan Khas boleh melanjutkan tempoh ini sekiranya perlu.

B) SYOR-SYOR CADANGAN DARIPADA JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN

Tan Sri Yang di-Pertua,

7. Seperti dijelaskan, Kerajaan mendengar dan mempertimbangkan setiap pandangan serta input Ahli-Ahli Dewan Rakyat termasuk ahli Jemaah Menteri terhadap keperluan menggubal peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti demi kelangsungan politik negara yang stabil. Selaras dengan perkara ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti telah mengadakan tujuh (7) siri mesyuarat dan perbincangan bermula 15 April 2022 sehingga 12 Julai 2022 untuk melaksanakan tugasan sebagaimana syor-syor Jawatankuasa Pilihan Khas.

8. Keahlian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu terdiri daripada sebelas (11) orang Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang dipengerusikan sendiri Yang Berhormat Santubong, Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. Ahli-ahli Parlimen Kerajaan yang menganggotai Jawatankuasa itu terdiri daripada YB Pengerang (BN), YB Padang Rengas (BN), YB Larut (BERSATU), YB Kota Bharu (PAS); dan YB Sibuti (GPS). Wakil pembangkang pula terdiri daripada YB Puchong (PH), YB Sepang (PH), YB Tuaran (UPKO), YB Kulim Bandar Baharu (PH) dan YB Penampang (WARISAN).

9. Jawatankuasa Pilihan Khas juga menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk NGO, CSO, ahli akademik dan parti politik, antaranya seperti The Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR). Kesemua input dan pandangan yang diterima daripada ahli-ahli Jemaah Menteri, NGO, CSO, ahli akademik dan parti politik ini diteliti dan dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas.

Persoalan Berbangkit Berkaitan Peruntukan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti

10. Secara umumnya, beberapa isu dan persoalan mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti menjadi perdebatan dan perbincangan bukan sahaja di media massa dan media sosial malah turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Antara persoalan-persoalan tersebut adalah:

(i) pendekatan atau approach terbaik (dengan izin) pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sahaja atau pendekatan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan disusuli dengan suatu

akta larangan bertukar parti yang khusus; (ii) tafsiran yang jelas berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, antaranya seperti:

(a) adakah Ahli Dewan Rakyat daripada suatu parti politik dan kemudiannya menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas dianggap bertukar parti;

(b) adakah Ahli Dewan Rakyat yang bertanding di atas tiket Bebas, dan kemudiannya menyertai suatu parti politik dianggap bertukar parti;

(c) kedudukan Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik dalam parti gabungan yang sama dan parti gabungan yang berbeza; dan

(d) sama ada Ahli Dewan Rakyat yang dipecat dari suatu parti politik dianggap bertukar parti.

(iii) keanggotaan dalam parti gabungan;

(iv) pemakaian peruntukan larangan bertukar parti bagi ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Undangan Negeri;

(v) pemansuhan Fasal (6) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat boleh bertanding semula;

(vi) rundingan dengan Kerajaan Negeri untuk menggubal perundangan berkaitan larangan adun bertukar parti; dan

(vii) mekanisme pemakluman kekosongan kerusi setelah Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Parameter Gubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa

Tan Sri Yang di-Pertua,

11. Pertimbangan sewajarnya dan perbincangan lanjut telah dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas terhadap semua persoalan berbangkit berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti termasuk implikasi penggubalan peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan perkara ini kepada Ahli Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, parameter gubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 – Pindaan Dalam Jawatankuasa ini ditetapkan, antaranya sebagaimana berikut:

(i) perundangan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan Akta mulai tarikh kuat kuasa Akta;

(ii) pendekatan satu langkah (one-step approach) dengan izin, diambil dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti, iaitu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan;

(iii) Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat;

(iv) keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan. Selain itu, keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu (direct member of the coalition party);

(v) keanggotaan Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan Rang Undang-Undang ini adalah keahlian seorang Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik;

(vi) penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti;

(vii) mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi;

(viii) pengecualian terhadap larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sebagaimana berikut:

(a) Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya;

(b) pelepasan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat; dan

(c) pemecatan Ahli Dewan Rakyat dari keanggotaan dalam parti politik dikecualikan dari Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

C) KANDUNGAN RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) (NO. 3) 2022

12. Selaras dengan perkara ini, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 – Pindaan Dalam Jawatankuasa yang digubal ini mengandungi 4 perenggan dan 6 Fasal dengan perincian seperti berikut:

(i) Perenggan 1 bertujuan untuk memasukkan kuasa Yang diPertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan berkenaan dengan fasal 6, iaitu Yang di-Pertuan Agong boleh, dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi suatu Negeri, menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa bagi fasal itu dalam Negeri itu.

Dalam erti kata lain, perenggan ini memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri/Dewan Undangan Negeri untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri;

(ii) Perenggan 2 bertujuan untuk menggantikan perenggan (b) untuk membolehkan sekatan ke atas hak untuk menubuhkan persatuan berhubung dengan Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan mana-mana Negeri dikenakan masing-masing oleh Perkara 49A dan seksyen 7A Jadual Kelapan;

(iii) Perenggan 3 bertujuan untuk memasukkan fasal baharu 3, 4, 5 dan 6 seperti yang berikut:

(a) Fasal baharu 3 bertujuan untuk memotong Fasal (6) Perkara 48. Pemotongan ini akan membolehkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat dan dengan demikian kehilangan

kelayakan untuk menjadi ADR bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai;

(b) Fasal baharu 4 bertujuan untuk memasukkan Perkara baharu 49A ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan di bawah Fasal (3) Perkara baharu 49A jika telah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu. Perkara yang sama juga terpakai bagi calon bebas yang, setelah dipilih ke Dewan Rakyat, menyertai suatu parti politik. Perkataan “anggota suatu parti politik” yang disebut dalam Perkara baharu 49A hendaklah termasuk Ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota gabungan itu.

Kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat hendaklah dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan apabila menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan itu mengenai berlakunya kekosongan itu dan dia hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya tentang kekosongan itu dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.

Bagi maksud Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah menjalankan suatu pilihan raya dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemberitahuan itu daripada Yang di-Pertua Dewan;

(c) Fasal baharu 5 bertujuan untuk memasukkan takrif baharu “parti politik” ke dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan; dan

(d) Fasal baharu 6 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 7A ke dalam Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan hendaklah terhenti menjadi Ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan di bawah subseksyen (3) seksyen baharu 7A jika setelah dipilih ke Dewan Undangan sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu. Perkara yang sama juga terpakai bagi calon bebas yang, setelah dipilih ke Dewan Undangan, menyertai suatu parti politik. Perkataan “anggota suatu parti politik” yang disebut dalam seksyen baharu 7A hendaklah termasuk Ahli Dewan Undangan yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota gabungan itu.

(e) Seksyen baharu 7A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang Ahli Dewan Undangan tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Undangan itu; Kekosongan luar jangka di Dewan Undangan hendaklah dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan apabila menerima notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan itu mengenai berlakunya kekosongan itu dan dia hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya tentang kekosongan itu dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu. Bagi maksud subseksyen (5) seksyen 9 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan 13 Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah menjalankan suatu pilihan raya dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemberitahuan itu daripada Yang di-Pertua Dewan; dan (iv) Perenggan 4 bertujuan untuk menggantikan implikasi kewangan Rang Undang-Undang memandangkan kemasukan Perkara baharu 49A dan pindaan Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan akan melibatkan Kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan bagi maksud pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengisi kekosongan luar jangka Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan mana-mana Negeri.

D) PENUTUP

Tan Sri Yang di-Pertua,

13. Saya ingin menegaskan dan mengulangi komitmen Kerajaan bahawa penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 – Pindaan Dalam Jawatankuasa ini bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan. Pindaan undang-undang ini juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya. Selain itu, saya yakin Rang Undang-Undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.

14. Penggubalan Rang Undang-Undang ini telah mengambil masa hampir setahun. Sesungguhnya, proses penggubalannya bukanlah suatu proses yang mudah kerana ia melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia.

15. Sehubungan itu, sokongan semua Ahli Yang Berhormat kepada pindaan Rang Undang-Undang ini amatlah penting memandangkan keperluan fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dimana satu Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga (2/3) atau 148 (jumlah minimum) dari jumlah Ahli Majlis Parlimen.

16. Besarlah harapan saya agar Rang Undang-Undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia. Rang Undang-Undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan dan Pembangkang.

Semoga Rang Undang-Undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli-Ahli Parlimen yang berjiwa besar.

17. Sokongan daripada Ahli-Ahli Yang Behormat semua saya dahului dengan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

18. Dengan ini Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close