Two Cents

PANDANGAN: Kekayaan negara terlampau tertumpu di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang – Institut Penyelidikan Khazanah

Pertumbuhan berkelompok Malaysia semakin diperkukuh oleh pembangunan berteraskan pelaburan langsung asing (FDI) sejak 2010, apabila syarikat multinasional dan pelaburan berorientasikan eksport secara semula jadi tertumpu di lokasi yang mempunyai infrastruktur, pelabuhan serta kumpulan tenaga kerja berkemahiran sedia ada yang lebih mantap.

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam laporan Beyond the Middle-Income Trap: Does Malaysia’s Growth Model Deliver Broad-Based Prosperity? mendedahkan, keadaan ini mengukuhkan kelebihan pusat dan koridor ekonomi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang yang sememangnya telah membangun.

Sebaliknya, wilayah di luar kelompok ini mungkin menerima lebih sedikit peluang untuk menyertai aktiviti bernilai tambah lebih tinggi.

Menurut KRI, pada 2024, sebanyak 110 daripada 166 daerah, khususnya di Pantai Timur dan wilayah utara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, mencatat kadar penyertaan tenaga buruh di bawah paras nasional.

Ini menyebabkan wilayah kurang membangun di luar kelompok berkenaan lebih tertumpu kepada pekerjaan sendiri tidak formal yang berproduktiviti rendah serta bergantung kepada bantuan pemindahan bagi menyokong pendapatan isi rumah.

Dengan kata lain, strategi pertumbuhan berkelompok pada asasnya membenarkan berlaku pertumbuhan wilayah yang tidak seimbang sebagai pertukaran dalam usaha mencapai hasil ekonomi bagi memenuhi ambang status negara berpendapatan tinggi.

Usaha Malaysia untuk membangunkan wilayah bukanlah sesuatu yang baharu.

Sejak 1970-an, kerajaan berusaha menyebarkan peluang ekonomi ke luar pusat bandar utama menerusi program pengagihan semula seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi menggalakkan pembangunan luar bandar di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), serta Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara wilayah dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Perubahan strategik utama berlaku apabila Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan Model Ekonomi Baru (NEM) kemudiannya memberikan penekanan lebih besar kepada pengelompokan ekonomi.

Ia mengiktiraf bahawa dalam keadaan sumber yang terhad, tumpuan kepada beberapa sektor bernilai tambah tinggi yang mempunyai potensi kukuh, sambil memusatkan infrastruktur, firma dan bakat dalam kelompok strategik, boleh menghasilkan ekonomi skala dan kesan rangkaian lebih padu.

Pengalaman Korea Selatan juga menunjukkan bahawa pengelompokan ekonomi – melalui pembentukan kepadatan aktiviti ekonomi di wilayah ibu negara sekitar Seoul – sememangnya berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi, yang mungkin tidak dapat dicapai menerusi pendekatan ‘pertumbuhan seimbang’ dalam tempoh masa yang sama.

Hasilnya, Korea Selatan berubah daripada ekonomi berpendapatan rendah kepada ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh kurang daripada 50 tahun.

Namun begitu, jurang ketidakseimbangan antara wilayah di Korea Selatan mengecil sejak pelaksanaan strategi pengelompokan pada 1980.

Menurut kajian Bank Dunia, jurang perbezaan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah per kapita antara wilayah ibu negara dengan wilayah barat daya menyusut daripada kira-kira 40 peratus pada 1985 kepada sekitar 10 peratus pada penghujung 1990-an.

Perbezaan penting ialah Korea Selatan tidak mengejar pertumbuhan berteraskan FDI, sebaliknya memberikan penekanan kepada peningkatan keupayaan industri tempatan serta hubungan ke belakang dan ke hadapan yang kukuh dengan ekonomi tempatan yang lain, sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi melimpah ke luar wilayah ibu negara.

Oleh itu, pengelompokan ekonomi boleh mengurangkan ketidakseimbangan apabila pusat pertumbuhan mewujudkan hubungan domestik dan limpahan ekonomi yang kukuh, bukannya sekadar menumpukan pelaburan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close