GovernansMalaysiaPilihan EditorTwo Cents

Negara kehilangan permata: Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali

Negara hari ini berdukacita di atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, tokoh perubatan dan kebajikan sosial tersohor, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat Malaysia.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Dr Siti Hasmah adalah di antara wanita Melayu pertama menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dan memperoleh ijazah MBBS dari Universiti Malaya pada 1955.

Beliau berkahwin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikenalinya ketika bersama-sama mengikuti pengajian di Singapura pada 1956 dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu memiliki enam cahaya mata.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dan memperoleh ijazah MBBS dari Universiti Malaya pada 1955.
Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dan memperoleh ijazah MBBS dari Universiti Malaya pada 1955.

 

 

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad,  pada hari graduasinya pada 1955.
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, pada hari graduasinya pada 1955.

 

Sebagai pelopor dalam bidang kesihatan ibu dan kanak-kanak, beliau dilantik sebagai wanita pertama menyandang jawatan Pegawai Kesihatan Negeri pada 1974.

Beliau juga melanjutkan pengajian dalam bidang kesihatan awam di University of Michigan dan banyak menulis isu perubatan keluarga, kehamilan, dan kesihatan wanita.

Beliau menjadi isteri kepada Perdana Menteri Malaysia bermula 16 Julai 1981, dan menggunakan kedudukan itu untuk memperjuangkan kesihatan wanita, perancangan keluarga, literasi dewasa dan kawalan penyalahgunaan dadah.

 

- Foto ihsan Perkim Kebangsaan
– Foto ihsan Perkim Kebangsaan

 

Selain pernah menjadi satu-satunya wanita di Malaysia yang mendamping Perdana Menteri, Dr Siti Hasmah sebenarnya juga menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak, dan pada 1974, beliau adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Kanak-kanak dan Ibu Negeri.

Dr Siti Hasmah pernah mengarang beberapa artikel mengenai perubatan keluarga dan faktor sosio-ekonomi yang berkaitan dengan kehamilan dan melahirkan anak di Malaysia.

 

Beliau berkahwin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikenalinya ketika bersama-sama mengikuti pengajian di Singapura pada 1956
Beliau berkahwin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikenalinya ketika bersama-sama mengikuti pengajian di Singapura pada 1956

 

Dalam kempen penyalahgunaan dadah beliau sebagai Presiden Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) gigih mendidik masyarakat mengenai bahaya bahan larangan terbabit.

Pada 1985, beliau menghadiri Persidangan Wanita Pertama mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington DC atas jemputan Nancy Reagan, dan kemudiannya mewakili Malaysia di Persidangan Antarabangsa di Vienna pada 1987.

Dalam memperjuangkan nasib wanita luar bandar, beliau turut membawa isu itu ke peringkat global termasuk memenuhi undangan Queen Fabiola dari Belgium, menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Pertama untuk Kemajuan Ekonomi Wanita Luar Bandar di Geneva pada 1992.

Di situ, beliau terpilih sebagai seorang daripada teras-Group Initiators dari rantau Asia Pasifik, dan menandatangani Deklarasi Geneva yang menjadi asas dasar peningkatan wanita luar bandar.

Dr Siti Hasmah menekankan bahawa dengan pendidikan dan latihan yang betul, wanita luar bandar boleh membesarkan anak-anak celik dan produktif yang boleh menjadi penyumbang positif kepada negara.

Beliau turut diberi kepercayaan dalam kesihatan mental apabila dijemput oleh Rosalynn Carter, bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, menyertai Jawatankuasa Kebangsaan Persekutuan Dunia Kesihatan Mental yang dipengerusikan Carter sendiri ketika itu.

Pada 22 Ogos 2019, Dr Siti Hasmah menerima gelaran ‘Ibu Negara’ daripada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) sempena Hari Wanita Kebangsaan.

Sebagai penghargaan lanjut, Biasiswa Tun Dr Siti Hasmah bernilai RM10 juta dilancarkan oleh Yayasan Jeffrey Cheah untuk menyokong bidang seni kreatif dan muzik.

Dalam bidang pendidikan, Dr Siti Hasmah yang dilantik sebagai Canselor pertama Universiti Multimedia (MMU), malah dikatakan pencetus idea penubuhan fakulti perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berasal daripada keluarga yang banyak berjasa kepada negara.

Antara adik-beradik beliau ialah Tun Mohamed Hashim, bekas Panglima Angkatan Tentera; Tun Ismail Mohd Ali, bekas Gabenor Bank Negara; dan Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali, bekas Menteri Besar Selangor.

Pemergian beliau hari ini mengundang kepiluan segenap lapisan masyarakat yang mengenang jasa dan keperibadian beliau yang lemah lembut, berwibawa dan penuh kasih sayang.

Dr Siti Hasmah dikenang sebagai lambang kesederhanaan, kebijaksanaan dan kasih sayang.

Pemergian beliau hari ini meninggalkan legasi abadi dalam sejarah pembangunan negara.

Al-Fatihah. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close