Kerajaan mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan negara bagi menghadapi ancaman siber global dan ketegangan geopolitik antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk memastikan bekalan makanan, air serta tenaga mencukupi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam membincangkan mekanisme sedia ada, memperketat penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan serta memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, susulan mesyuarat itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan mempengerusikan mesyuarat bersama semua jabatan berkaitan petang ini, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan sesi khas bersama semua institusi kewangan dalam negara.
“Pendekatan ini mengambil iktibar daripada Strategi Kesatuan Kesiapsiagaan Kesatuan Eropah yang menggembleng jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum,” katanya ketika membaca Kenyataan Rasmi Negara di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut mendedahkan beberapa negara luar termasuk Kesatuan Eropah (EU), Kanada dan Jepun sudah mengeluarkan arahan serta nasihat kepada warganegara masing-masing supaya menyimpan bekalan makanan asas untuk tempoh tiga hingga 10 hari.
Beliau berkata, krisis antarabangsa termasuk ketegangan konflik di Asia Barat, perkembangan krisis di Yaman dan Lautan Merah serta ancaman keselamatan di Eropah berpotensi memberi implikasi langsung terhadap keselamatan rakyat, kestabilan ekonomi dan kepentingan negara.
Katanya, menerusi mesyuarat khas MKN itu, lima langkah diberi penekanan, antaranya meningkatkan kerjasama lebih rapat antara kementerian dan agensi kerajaan serta mendidik dan meningkatkan kesedaran awam supaya masyarakat tidak menganggap ancaman siber dan krisis global sebagai sesuatu yang jauh daripada Malaysia.
“Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara juga sudah memberikan komitmen penuh bagi memastikan pasukan keselamatan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.
“Mudah-mudahan Allah memelihara dan menyelamatkan negara Malaysia yang dicintai,” katanya. – BH ONLINE




