MalaysiaPilihan Editor

Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing Cuma Untuk 5 Sektor – Menteri Sumber Manusia

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hanya membabitkan lima sektor atau subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata pelaksanaan pelan berkenaan bertujuan menyegerakan proses permohonan dan kelulusan penggajian pekerja asing dalam sektor kritikal.

Katanya, majikan dalam kelima-lima sektor atau subsektor berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing di platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta-merta.

“KSM akan memproses dan memberi kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.

“Pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MyFutureJobs dikecualikan berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, majikan yang sudah membuat permohonan penggajian pekerja asing dalam Modul FWe Approval dan Modul eQuota sebelum hari ini, perlu mengemukakan semula permohonan baharu dalam Modul FWe Approval.

Mereka yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran, Kementerian Sumber Manusia di talian 03-8885 2939/2940. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close