Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Lebih 7,000 kekosongan jawatan merentasi pelbagai industri !
Sebanyak 56 majikan mengambil bahagian !
Kepada pencari kerja, rebutlah peluang yang disediakan untuk memperoleh pekerjaan tetap dan pendapatan stabil !
Bak kata pepatah, “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”.
Begitu semangat, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar melaungkan kepada rakyat Pulau Pinang dan sekitarnya di Karnival Kerjaya MYFutureJobs bermula semalam dan hari ini (3 dan 4 Jun 2023) di Butterworth Arena, Pulau Pinang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.
Menurut beliau, penganjuran Karnival Kerjaya ini merupakan insiatif berterusan kementerian melalui PERKESO bagi mencapai sasaran penurunan kadar pengangguran dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi mata pencarian tetap, yang menepati rukun Malaysia Madani di bawah nilai Kesejahteraan.
“Saya yakin, dengan sokongan industri, peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dapat direalisasikan.
“Kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan industri adalah penting untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan mengikut keperluan industri semasa,’ katanya lagi.
Sepanjang karnival yang berlangsung sejak semalam, 56 majikan mengambil bahagian dengan menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan merentasi pelbagai industri.
Sivakumar juga turut berkongsikan satu program Galakan Pengambilan Pekerja Tempatan akan dilancarkan bagi menyokong usaha kementerian bagi meningkatkan penempatan rakyat Malaysia dalam pekerjaan.
Saya menyeru majikan bekerjasama dengan pihak kementerian dengan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan bersungguh-sungguh lagi dalam menggajikan pekerja tempatan.
Berdasarkan statistik Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs, sehingga April 2023, terdapat 58,717 jawatan kosong yang ditawarkan di Pulau Pinang dan hampir 40 peratus terbuka kepada pekerja asing.
Majikan turut disarankan memanfaatkan Insentif Penggajian Bersasar – Program Daya Kerjaya untuk meningkatkan penawaran pekerjaan kepada warga tempatan.
Program ini memberikan insentif sehingga RM1,800 selama tiga bulan kepada pekerja baharu yang digajikan majikan dari kalangan golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya, miskin tegar, wanita, individu diparol serta bekas banduan,dan juga dari kalangan graduan TVET atau lepasan sekolah yang menganggur lebih 2 bulan.
Permohonan dibuka sejak 1 Mei hingga 31 Disember 2023. – BACALAHMALAYSIA.MY