Duniaku TeknokratGovernans

Dua firma Malaysia sah antara tujuh entiti terkini disenarai hitam oleh AS

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan dua entiti yang disenaraikan di bawah Malaysia dalam Senarai Entiti Amerika Syarikat (AS) ialah Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd, susulan peraturan akhir yang dikeluarkan Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan AS pada 23 November lalu.

Dalam kenyataan hari ini MITI berkata, tindakan itu membabitkan penambahan tujuh entiti ke dalam Senarai Entiti AS, termasuk dua syarikat yang disenaraikan di bawah Malaysia.

Speedmatrix Sdn Bhd dikenal pasti sebagai anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte Ltd yang diperbadankan di Singapura.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), PT Megaspeed International bukan entiti yang berdaftar di Malaysia dan juga bukan pengendali atau penyewa pusat data yang beroperasi di negara ini.

Sehubungan itu, MIDA akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di Malaysia bagi memaklumkan mengenai penyenaraian berkenaan.

Notis itu turut mengingatkan pengendali pusat data supaya tidak menjadi hos, menyewakan ruang atau menyediakan sebarang perkhidmatan kepada tujuh entiti yang disenaraikan berkenaan.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan memaklumkan pihak industri mengenai implikasi penyenaraian berkenaan, khususnya bagi mengelakkan penyedia perkhidmatan tempatan terbabit dalam urusan dengan entiti yang dikenakan sekatan.

MITI berkata, Malaysia kekal komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan.

Kementerian itu turut menegaskan Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai saluran untuk memintas kawalan eksport yang ditetapkan.

Pada masa sama, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close