MalaysiaPilihan Editor

MEMILIH PRU15: GTA Perkenal Agenda Baharu Berteras Lima Prinsip – Mahathir

Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini melancarkan Dokumen Agenda Baharu Malaysia yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Protem GTA Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dokumen itu berteraskan kepada lima prinsip iaitu kerajaan berwibawa; bebas rasuah; pentadbiran bersih, cekap dan amanah; tebus kedudukan ekonomi Malaysia dan kembali jadi Harimau Asia serta berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata dokumen dan penawaran dibangunkan itu merupakan pandangan serta analisis GTA berhubung keperluan terhadap perkara asas kenegaraan dan sistem politik yang berlaku ketika ini.

“…yang pasti kami (GTA) tidak menjanjikan bulan dan bintang jika kami menjadi kerajaan.

“Kebebasan rakyat sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan akan dihormati sepenuhnya. Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan dipertahankan,” katanya ketika melancarkan Dokumen Agenda Baharu Malaysia secara dalam talian malam ini.

Antara ditawarkan GTA  menerusi dokumen agenda pembaharuan yang bertemakan “Janji Kami” ialah:

  1. Mengurangkan jurang ekonomi antara rakyat dan wilayah serta memastikan pengagihan pembangunan yang lebih adil.
  2. Meningkatkan pendapatan rakyat melalui penumpuan pemerkasaan kegiatan ekonomi, pembangunan ekosistem ekonomi dan prinsip pekerjaan bermaruah terutama kepada kumpulan berpendapatan rendah.
  3. Menguruskan semula kumpulan ekonomi rakyat menerusi FELDA, FELCRA dan MADA kepada pemodenan serta penghasilan produk hiliran komoditi.
  4. Meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) sumber makanan utama negara dengan menyasarkan kepada kadar seratus peratus tanpa membelakangkan hak dan kebajikan petani, nelayan serta penternak kecil dan sederhana.
  5. Mempertimbangkan semula ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) agar memberi manfaat lebih luas serta menyeluruh kepada semua.
  6. Memperkukuh semula teras pendidikan sebagai instrumen pembangunan modal insan.
  7. Mempergiat dan memperluas sijil kemahiran profesional serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi untuk golongan belia.
  8. Memberi akses dan sokongan lebih luas kepada kumpulan B40 dan kumpulan yang terpinggir ke institusi pengajian tinggi.
  9. Pemerkasaan badan bukan kerajaan (NGO), gerakan masyarakat sivil dan institusi kemasyarakatan sebagai badan penyampaian kerajaan dalam aspek kebajikan, pengurusan kumpulan kurang upaya dan memerlukan, warga emas serta pengurusan bencana.
  10. Lebih serius dalam mengadaptasi kepada perubahan iklim termasuk dalam penggubalan akta serta pelaksanaan pembangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lokaliti merentas sektor.

— BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close