GovernansMalaysiaPilihan Editor

LKAN 2022: Kerugian Wang Awam RM681.71 Juta Babit 6 Program Kerajaan

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan sebanyak RM681.71 juta kehilangan atau kerugian wang awam membabitkan enam program kerajaan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata dapatan itu diperoleh hasil 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian melalui LKAN 2022.

Kerugian itu dikesan membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ia turut membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan dan pengurusan program bandar selamat.

 

Kerugian RM681.7 juta dikesan dalam LKAN 2022 antaranya membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah LADA, pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah KDN. - Foto hiasan BERNAMA
Kerugian RM681.7 juta dikesan dalam LKAN 2022 antaranya membabitkan pengurusan program penanaman padi, pengurusan pembangunan hartanah LADA, pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah KDN. – Foto hiasan BERNAMA

“Ia juga membabitkan kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya,” katanya melalui LKAN 2022.

Daripada 16 pengauditan prestasi bernilai RM208.882 bilion yang dilaksanakan di 14 kementerian, ia membabitkan 13 program antaranya RM189.290 bilion adalah program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan; pengurusan program penanaman padi (RM6.820 bilion).

Pengurusan kawalan penyakit denggi membabitkan RM5.230 bilion; pengurusan program skim pembangunan kesejahteraan rakyat (RM2.215 bilion); pengurusan naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah (RM1.026 bilion) dan pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) (RM822.61 juta).

Pada masa sama, Wan Suraya berkata, terdapat tiga kes pembaziran bernilai RM21.35 juta antaranya membabitkan Pengurusan Pekerja Asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Jumlah pembaziran itu juga membabitkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.

“Kes yang dibangkitkan antaranya berkaitan sistem yang tidak digunakan secara optimum di mana 11 daripada 14 modul sistem ePPAx tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing.

“Projek pangkalan hadapan yang siap pada tahun 2020 tidak dapat digunakan dan peralatan kelengkapan latihan (ACMV Industrial) tidak digunakan sejak diterima pada tahun 2018,” katanya.

Wan Suraya berkata, terdapat juga dua kes pembayaran tidak teratur bernilai RM1.52 juta membabitkan pengurusan program podium sukan elit dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.

Beliau berkata, perkara yang berbangkit adalah berkaitan perbelanjaan di luar skop kelulusan dan tajaan program dibuat kepada peserta yang tidak memenuhi syarat.

“Hasil daripada pengauditan yang dilaksanakan, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

“Antara syor yang dikemukakan adalah kementerian, jabatan, agensi dimohon menjalankan kajian terperinci bagi setiap cadangan projek terlebih dahulu sebelum diluluskan,” katanya.

Selain itu, kementerian, jabatan dan agensi juga harus mempertingkatkan aspek pemantauan bagi memastikan program, aktiviti dan projek dilaksanakan mengikut jadual atau perancangan yang ditetapkan.

Katanya, pegawai pengawal atau ketua jabatan perlu menetapkan kriteria dan mekanisme penilaian keberhasilan semasa di peringkat perancangan untuk setiap program projek yang dilaksanakan. – BH ONLINE

 

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close