GovernansPilihan Editor

Ekonomi Malaysia Pulih Tahun Ini – Perdana Menteri

 

Kedudukan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik tahun ini, susulan langkah pemulihan yang sedang diambil kerajaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata laporan World Economic Outlook oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus, manakala perdagangan dunia turut diunjur kembali berkembang pada kadar 8.1 peratus.

Katanya, sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan dunia, ekonomi negara turut dijangka kembali pulih pada 2021.

“Badan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia pada Januari lalu mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar tujuh peratus dan 6.7 peratus.

“Pada masa yang sama, permintaan domestik diunjur mencatat pertumbuhan yang stabil disokong penambahbaikan dalam pasaran buruh, kadar inflasi yang rendah dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan serta penerusan semula projek utama infrastruktur,” katanya.

Majlis turut dihadiri Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan.

Muhyiddin berkata, sebagai negara yang pertumbuhan ekonominya dipacu eksport, sentimen pelabur amat penting sebagai sumber penciptaan pekerjaan.

Dalam aspek itu, katanya, keyakinan dalam pasaran Malaysia tetap teguh terutama daripada pelabur asing, berdasarkan pelaburan sebanyak RM23.1 bilion dalam pasaran bon sehingga Ogos 2020.

“Pelaburan asing bersih ke Malaysia juga kekal positif daripada RM2.2 bilion pada suku kedua 2020 kepada RM6.1 bilion pada suku keempat.

“Antara faktor yang menyokong keyakinan pelabur luar ini adalah usaha giat kerajaan mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada, bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan, selain usaha menarik pelaburan tambahan dan baharu yang giat dijalankan.

“Ringgit Malaysia juga muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara, dipacu inisiatif secara berterusan kerajaan dan swasta dalam memulihkan ekonomi dan menangani COVID-19, sekali gus menjadi petunjuk penting untuk menilai kemapanan ekonomi negara dalam jangka masa panjang,” katanya.

 

Kadar pengangguran negara menurun daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.8 peratus pada Disember lalu. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Kadar pengangguran negara menurun daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.8 peratus pada Disember lalu. – Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

 

Menyorot situasi ekonomi negara tahun lalu, Muhyiddin berkata, pertumbuhannya menguncup 28.7 peratus pada April namun pada Disember, ia hanya menguncup 1.7 peratus, manakala pengangguran menurun daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.8 peratus pada Disember.

Perkembangan itu, katanya, hasil langkah kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berfasa selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu, yang memberi kelegaan kepada ekonomi dan membuka peluang kepada rakyat untuk kembali menjana pendapatan.

Apabila jumlah kes COVID-19 meningkat semula pada Januari lalu, beliau berkata, kerajaan melaksanakan PKP kali kedua tetapi berdasarkan kepada data dan sains, serta berusaha untuk mengimbangi antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi.

Muhyiddin berkata, kerajaan memberi kelonggaran dengan membuka lebih banyak aktiviti ekonomi, berbanding PKP pertama dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta ditambah baik dengan pembabitkan aktif persatuan dan dewan perniagaan.

“Kesan pelaksanaan PKP kali kedua di peringkat awalnya, dengan hanya pembuatan dan sebahagian peruncitan dan pembinaan yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus pengeluaran, tiga kali lebih rendah berbanding PKP pertama. Namun, kehilangan hasil masih besar iaitu sekitar RM633 juta sehari.

“Susulan itu, kerajaan membenarkan semua aktviti ekonomi dalam sektor perkhidmatan, peruncitan dan pembinaan beroperasi pada kapasiti 100 peratus dengan SOP ketat dan memberi peluang kepada syarikat untuk terus menjana pendapatan,” katanya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close