GovernansMalaysiaPilihan Editor

MENJELANG PRU15: Dewan Rakyat Bubar Hari Ini

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang ini.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

Ismail Sabri memaklumkan, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Agong tengah hari semalam bagi menyembah warkah permintaan kepada baginda mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

Mengikut proses, sebaik notis pemakluman rasmi pembubaran Parlimen diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, ia kemudian akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai tempoh 60 hari bagi menyempurnakan urusan pilihan raya.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu memberi perkenan pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat bagi tiga kawasan pilihan raya, iaitu Parlimen Grik di Perak, Batu Sapi di Sabah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya juga di Sabah.

Pembatalan itu membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sepatutnya diadakan pada 2020, tetapi ditangguhkan bagi mengekang penularan COVID-19, dilaksanakan serentak dengan PRU kali ini.

Seiring peningkatan jumlah daftar pemilih SPR bagi PRU15 susulan pengenalan Undi 18 dan daftar pemilih automatik, tempoh mengundi rasmi juga dilanjutkan sehingga jam 6 petang, berbanding 5 petang pada pilihan raya sebelum ini.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen akan menjadi pertaruhan parti-parti politik dan calon Bebas yang akan menyertai PRU, dengan saingan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan banyak penjuru di satu-satu kerusi.

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pula dijangka menyaksikan hanya 116 DUN, iaitu di Pahang, Perlis serta Perak menyertai proses bersekali peringkat Persekutuan.

Ia berikutan tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, selain tiga lagi negeri ditadbir PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, sebelum ini memutuskan untuk mengadakan pilihan raya DUN masing-masing tahun depan.

Enam negeri berkenaan menyumbang keseluruhan 245 kerusi DUN

Bagi 239 lagi kerusi DUN di Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka pula, kesemuanya tidak akan dipertandingkan memandangkan negeri itu baru selesai mengadakan PRN.

Pada PRU14 Mei 2018, Barisan Nasional (BN) yang sudah menguasai pentadbiran negara selama 60 tahun tewas selepas gagal memperoleh majoriti mudah atau 112 daripada 222 keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Ketika itu, PH dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU menang selepas memperoleh 113 kerusi Parlimen, disusuli penyertaan Parti Warisan (WARISAN) kemudiannya yang menang di lapan kerusi Parlimen, menjadikan keseluruhan 121 kerusi dimenangi gabungan itu dan sekutunya

Perdana Menteri menegaskan, pembubaran berkenaan dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

Justeru, beliau berharap rakyat menggunakan kuasa untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Dalam perutusan sama, Ismail Sabri turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong bersama seluruh perkenan Raja-Raja Melayu atas pelantikannya sebelum ini sebagai Perdana Menteri Kesembilan, dalam keadaan negara yang sangat mencabar tatkala itu.

“Izinkan juga saya menzahirkan setingi-tinggi terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana menyokong dan mendokong saya selama ini dalam melunaskan amanah serta tanggungjawab sebagai ketua kerajaan.

“Betapa besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul, besar jugalah usaha dan ikhtiar digalas. Pada waktu itu negara diselubungi trilema, pandemik COVID-19 yang sedang mengganas, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia, ditambah kelesuan ekonomi dan politik yang bergelora.

“Meskipun acapkali diasak pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah, kerajaan andal menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan membawa negara ke landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi demi memulihkan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia dan kemakmuran negara,” katanya.

Dalam suasana politik mencabar itu, katanya, kerajaan dengan langkah responsif dan proaktif berjaya membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi dengan data terbaharu Bank Dunia menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2022 kepada 6.4 peratus, berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada Mac lalu.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close