Saham pengeluar telefon pintar iPhone dan gergasi teknologi pengguna, Apple mencecah rekod tertinggi apabila permodalan pasarannya melepasi AS$3 trilion untuk menjadi syarikat paling bernilai di dunia, menurut data dagangan.
Saham Apple mencecah paras tertinggi AS$182.87 pada Isnin untuk melepasi penilaian AS$3 trilion, demikian menurut data dikumpul daripada platform Nasdaq bagi saham firma teknologi besar, lapor Sputnik.
Gergasi teknologi itu mencatatkan pencapaian itu pada hari dagangan pertama tahun baharu selepas penganalisis Wedbush Securities, Daniel Ives memberikan tinjauan positif terhadap syarikat terbabit bagi 2022.
Ives dalam satu nota penyelidikan berkata, permintaan mengatasi bekalan Apple bagi jualan Disember.
Beliau menambah bahawa China kekal sebagai sumber utama kekuatan syarikat itu.
Ketika saham Apple melonjak sejak beberapa bulan lalu, penganalisis turut menaikkan sasaran harga masing-masing, dengan J.P.Morgan dan BofA Global Research meningkatkan unjuran kepada AS$210 sesaham.
Sasaran sedemikian akan menjadikan permodalan pasaran Apple pada kira-kira AS$3.5 trilion. -BERNAMA