Pilihan EditorTurun Naik

Pemberian Lesen Bank Digital Usah Abai Agenda Perkasa Bumiputera

Oleh Fahami Ashrof Badaruddin

 

Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mengeluarkan lima lesen Bank Digital pada tahun ini dan setakat ini, terdapat 29 institusi bersaing untuk mendapatkan lesen berkenaan.

Institusi yang ingin memohon lesen bank digital perlu memenuhi tiga kriteria utama, iaitu kepakaran dalam pasaran, kemahiran tinggi dalam ekosistem perniagaan serta penyedia perbankan asas inovatif.

Selain itu, semua industri, syarikat atau entiti memohon lesen ini perlu memenuhi syarat aset siling sebanyak RM3 bilion bagi tiga hingga lima tahun pertama khidmat perbankan digital beroperasi.

Melihat kepada senarai pembida lesen ini, timbul persoalan besar sejauh mana institusi dipilih ini benar-benar mengangkat aspirasi utama Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) untuk memperkasakan pembabitan Bumiputera dalam industri perbankan digital di Malaysia.

Pemberian lesen bank digital ini diharap tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan. Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MoF) mungkin dilihat seolah-olah mengambil ringan kelangsungan sistem baharu ini.

Sejauh mana ia tidak akan memberi implikasi bukan sahaja kepada kelangsungan syarikat dan pertukaran nilai dengan pengguna, bahkan kepada aliran tunai dan pasaran wang negara dalam konteks golongan B40, yang mana 80 peratus adalah Bumiputera.

BigPay menjadi pembida awal walaupun umum mengetahui integriti syarikat terbabit jelas diheret keluar daripada Bursa Malaysia sebagai anak syarikat AirAsia yang mendapat status syarikat PN17.

PN17 adalah penyenaraian khas kepada syarikat mempunyai tekanan kewangan dan dikeluarkan daripada senarai Bursa Malaysia akibat kegagalan syarikat terbabit menunjukkan prestasi kewangan yang baik untuk terus beroperasi pada masa akan datang.

Masalah utama syarikat ini juga dilanjutkan dengan skim ‘Beli Dulu Bayar Kemudian’ (BNPL) yang diumumkan awal Mac lalu. Skim kredit ini menyasarkan pengguna menjadi mangsa liabiliti kredit adalah sangat tidak bertanggungjawab serta tidak memberi gambaran baik kepada pengupayaan bank digital.

Mangsa kepada keadaan sebegini sudah tentu golongan tidak mampu membuat pembiayaan pinjaman peribadi di bank konvensional seperti pelajar dan kebanyakan mangsa senarai hitam yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman daripada institusi kewangan lain.

Trend BNPL ini diamalkan beberapa konsortium lain seperti Shopee Credit dan GrabPay Later. Bagaimanapun, desas-desus syarikat ini akan mendapat tempat di dalam pelesenan bank digital semakin jelas kedengaran.

Persoalannya, bagaimanakah BNM dan MoF boleh melepaskan syarikat yang mempunyai sejarah hitam, tidak mempunyai bukti kewangan untuk terus beroperasi di bawah PN17 ini membida?

Sekiranya benar, ia seperti semua syarikat di bawah senarai PN17 boleh menjadi pemegang lesen bank digital.

Hal ini perlu diperjelaskan MoF dan BNM, lebih-lebih lagi apabila syarikat mempunyai keupayaan seperti CIMB Bank Berhad (CIMB) dan Touch n’ Go menarik diri daripada pembidaan ini.

Satu lagi syarikat disebut-sebut dalam senarai terakhir adalah GrabPay (Grab-Singtel), syarikat asing berpangkalan di Singapura.

Di Malaysia, Grab memonopoli perkhidmatan p-hailing and e-hailing, maka jika turut diberikan lesen bank digital, mereka juga akan membolot segala akses kepada data sebahagian besar penduduk Malaysia.

Dalam konteks ini, kerajaan tidak seharusnya melihat dari sudut ekonomi semata-mata, tetapi implikasi keselamatan dari sebuah syarikat asing.

Apa yang perlu diingatkan di sini adalah, selain mempertahankan agenda Bumiputera, isu keselamatan data tempatan akan diraih syarikat pembida luar negara juga mencakupi keselamatan negara yang mana data peribadi ini boleh digunakan untuk tujuan subversif.

Kerajaan tidak boleh begitu ‘longgar’ dalam proses ini sehingga isu pokok yang begitu genting ini tidak langsung dinilai dengan segala kewajaran yang perlu ada dalam sanubari setiap warganegara, apatah lagi bagi yang berada dalam posisi kuasa dan kepemimpinan.

Spekulasi siapa sebenarnya berpotensi dan dilihat layak untuk mendapat penganugerahan lesen bank digital masih berlegar. Daripada 11 syarikat membentuk kerjasama, hanya tiga syarikat tempatan tersenarai, iaitu Speedmart 99, Koperasi Angkatan Tentera dan Ikhlas Capital, selain kerajaan negeri.

Lebih membimbangkan, tiga syarikat ini dibayangi syarikat lebih besar yang memilih mereka sebagai rakan kongsi kecil untuk membentuk kerjasama sekadar memenangi lesen bank digital.

Disebabkan itu timbul persoalan mengenai kriteria pemilihan syarikat yang layak. Tiga gabungan dan potensi lain lebih menunjukkan ‘aura tidak mesra’ Bumiputera dan tempatan.

Grab-Singtel, Sea Group YTL, dan AEON Financial/Credit Service adalah tiga lagi gabungan jelas menunjukkan keyakinan mereka daripada penilai luar apabila tiga syarikat luar ini dijangka memenangi lesen operasi bank digital pertama di Malaysia.

MoF dan BNM wajar lebih sensitif melihat perkara ini, iaitu keperluan memilih syarikat tempatan untuk membangunkan industri perbankan digital.

Sekiranya benar pembangunan bank digital ini dimonopoli syarikat luar, segala prosedur, dasar dan atur cara kewangan ditetapkan mereka dikhuatiri tidak memberi kelebihan kepada pengguna tempatan dan orientasi mengaut keuntungan korporat sudah pasti menjadi agenda utama syarikat sebegini.

Sekiranya BNM tidak membuat pertimbangan atau penilaian jelas, pemberian lesen bank digital akan menjurus kepada pembida yang hanya mempunyai kekuatan kewangan.

Natijahnya, semua pemegang lesen hanya akan terjerumus ke dalam persaingan baharu pasaran kewangan dan menjadikan keuntungan sebagai kiblat operasi.

Lebih parah, tekanan keuntungan dengan kos operasi lebih rendah akan mengancam kedudukan bank konvensional akibat tiada imbangan daripada tawaran dan potensi perbankan digital untuk mendapatkan keuntungan yang jauh lebih tinggi berbanding bank sedia ada. – BH ONLINE

  • Penulis adalah Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close