Malaysia

304 rakyat Malaysia antara 1,426 hilang kerja selepas kilang sarung tangan tutup di Sepang

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memantau dengan teliti proses penutupan operasi syarikat WRP Asia Pacific Sdn Bhd bagi memastikan hak dan kebajikan 1,426 pekerja terbabit dilindungi.

Dalam kenyataan kelmarin, KESUMA memaklumkan JTKSM telah menjalankan siasatan lanjut pada 17 April lalu berhubung aduan penutupan penuh operasi syarikat itu di Sepang, Selangor.

“Siasatan mengesahkan bahawa syarikat telah melantik penyelesai dan mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan kepada para pekerja berkuat kuasa serta-merta pada 15 April 2026.

“Daripada jumlah 1,426 pekerja yang terkesan, seramai 304 adalah pekerja tempatan manakala 1,122 lagi pekerja asing,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan JTKSM telah mengadakan satu mesyuarat bersama pihak penyelesai, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 17 April lalu.

Hasil mesyuarat itu, pihak penyelesai telah menyatakan komitmen terhadap beberapa perkara utama antaranya meliputi perkara Tuntutan Gaji dan Faedah, Status Gaji dan Penawaran Kontrak Sementara.

“Semua tuntutan berkaitan gaji dan faedah penamatan akan diuruskan melalui pengemukaan borang bukti hutang (POD) mengikut prosedur ditetapkan.

“Pembayaran gaji bagi Mac 2026 telah diselesaikan manakala bayaran bagi April 2026 sedang dalam proses penyediaan dokumen terperinci oleh Bahagian Sumber Manusia yang dilantik secara kontrak untuk dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KESUMA, sebahagian pekerja tempatan akan ditawarkan kontrak sementara bagi menyempurnakan tugasan kritikal seperti pengurusan dokumen, hal ehwal kewangan, serta tugasan teknikal bagi penyelenggaraan aset dan mesin kilang.

Bagi aspek kebajikan pekerja asing, majikan telah memberi jaminan bahawa kebajikan mereka termasuk penyediaan penginapan dan makanan akan terus dipelihara sehingga proses penempatan semula selesai.

“Pada masa yang sama, usaha sedang dilaksanakan untuk memudah cara penawaran pekerjaan oleh majikan baharu kepada pekerja asing terbabit,” menurut KESUMA.

KESUMA pantau

KESUMA akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan secara berterusan bagi memastikan majikan dan pihak penyelesai mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang perburuhan negara.

“Segala langkah yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi melindungi kebajikan serta memelihara hak pekerja, seterusnya memastikan keseluruhan proses berjalan secara teratur, telus dan adil.

“KESUMA menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan awam sementara proses dokumentasi serta penyelesaian tuntutan pekerja sedang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, portal berita tempatan melaporkan pengeluar sarung tangan Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn Bhd akan menutup operasi perniagaannya bermula 15 April ini, akibat gangguan besar dalam bekalan tenaga dan bahan kimia global disebabkan konflik di Asia Barat.

Syarikat itu menyatakan kos bahan mentah dan bahan kimia meningkat dengan ketara manakala tempoh perolehan menjadi tidak menentu dan pembekal pula menuntut pembayaran awal. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close