Dimensi BisnesPilihan Editor

Harga Sawit Dijangka Terus Meningkat

Jangkaan peningkatan permintaan minyak sawit dari India serta tinjauan pengeluaran yang rendah di Indonesia dan Malaysia menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi ketika ini, kata penganalisis.

Kontrak penanda aras, Oktober 2020 meningkat kepada RM2,808 dalam dagangan harian pada Selasa, paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, harga buah tandan sawit segar (FFB) harian berada pada paras RM580 satu tan semalam.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa, berkata harga MSM dilihat bulis sejak Mei berikutan peningkatan ketara permintaan eksport pada Jun, sementara pada Julai juga dilihat akan mencatatkan peningkatan dengan diunjurkan meningkat antara 5.0 peratus hingga 6.0 peratus berbanding Jun.

Beliau berkata, eksport yang tinggi serta tinjauan pengeluaran rendah di Indonesia dan Malaysia kini menyokong harga untuk tinggi.

“Harga pada Ogos mengatasi harga Ogos tiga tahun lalu. Harga penanda aras hadapan akan berlegar antara RM2,500 dan RM2,600 satu tan sekitar September hingga Disember berikutan sawit memasuki pengeluaran kemuncak Ogos ke Oktober di Malaysia,” katanya kepada BH mengulas mengenai prestasi harga MSM.

Sathia berkata, pengeluaran keseluruhan tahun ini di Malaysia diunjurkan 19 juta tan atau jatuh 4.32 peratus berbanding 2019.

Beliau berkata, dalam kaji selidik yang dilaksanakan Palm Oil Analytics di Twitter dengan pungutan pendapat membabitkan 150 peserta pasaran mendapati, unjuran pengeluaran terbahagi kepada 19 juta tan dan 19.30 hingga 19.50 juta tan.

“Walaupun eksport 17 peratus lebih rendah pada separuh pertama 2020 berbanding 2019, eksport dilihat meningkat kukuh terutama dari India. India meningkatkan pembelian pada Jun berikutan negara itu mula melonggarkan langkah sekatan pergerakan dan meningkatkan stok simpanan (sawit).

“Eksport Malaysia ke India kekal kukuh untuk keseluruhan tahun terutama produk MSM selepas kerajaan mengurangkan cukai eksport kepada sifar pada Jun dan melanjutkannya dari Julai hingga Disember.

“Eksport Malaysia ke India akan mencecah 2.30 juta tan bermula Julai hingga Disember berbanding 396,000 tan pada Januari hingga Jun 2020,” katanya.

Namun begitu, Sathia melahirkan kebimbangan peningkatan mendadak eksport MSM yang dicetuskan pengurangan cukai eksport kepada sifar kerana ia memberi tekanan kepada stok dengan cepat dan menjadikan ketersediaan produk MSM di pasaran domestik tidak mencukupi.

Stok simpanan minyak sawit dijangka berjumlah 1.67 juta tan pada Julai 2020, paras terendah sejak Jun 2017, demikian mengikut pungutan pendapat terkini oleh Reuters.

Berdasarkan perangkaan penyelidik kargo, Intertek Testing Services menunjukkan eksport minyak sawit Malaysia pada 1 hingga 31 Julai meningkat 5.8 peratus kepada 1.71 juta tan berbanding 1.62 juta tan pada Jun 2020.

Sementara perangkaan penyelidik kargo, Amspec Malaysia pula menunjukkan eksport meningkat 6.8 peratus kepada 1.73 juta tan pada bulan lalu berbanding 1.62 juta tan pada bulan sebelumnya. – BERITA HARIAN

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close