Selepas enam bulan beroperasi, perkhidmatan perniagaan dalam talian AsasiMall buat kali pertama menjalinkan kerjasama dengan artis popular tanah air seperti Rozita Che Wan, Scha Ellinea dan Aidit Noh dalam sebuah karnival jualan hebat.
Karnival jualan selama tiga hari dari 25 hingga 27 September ini dipanggil Superwomen Sale. Ia akan berlangsung di pejabat operasi By RCW di Unit 16-1, Jalan LGSB 1/3 Pusat Komersial LGSB off Jalan Hospital, Sungai Buloh dari jam 10 pagi hingga 8 malam.
AsasiMall yang diuruskan pemilik rumah produksi Zeel Production yang juga penerbit terkenal Fadzil Teh atau Hj Zeel juga optimis dengan karnival yang bakal berlangsung itu.
“Ini kali pertama kami mengikuti jualan atau karnival seumpama itu. Selama beroperasi teras kami lebih kepada dalam talian. Tapi sesekali kami tidak kisah turut serta dalam acara ‘on ground’.
“InsyaAllah selama karnival jualan berlangsung, pihak AsasiMall akan menjual kelengkapan rumah seperti mangkuk tingkat, periuk, pinggan mangkuk dan seleksi pakaian termasuk jubah Abaya dari Dubai.
“Dengan penyertaan rakan artis, siapa tahu karnival jualan sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Kita merancang untuk mengadakan karnival jualan sama lagi di Taman Mini Melaka Oktober depan membabitkan lagi ramai artis termasuk Che Ta sendiri,” kata Fadzil Teh.
Menurut Fadzil lagi, AsasiMall ditubuhkan oleh bekas pelajar Universiti Malaya yang aktif menceburi perniagaan termasuk secara dalam talian.
“Kita juga berharap dalam tempoh sedikit masa lagi, AsasiMall boleh berdiri setanding dengan Lazada dan Shopee. Ia selaras dengan perkembangan semasa di mana hampir 80 peratus transaksi pengguna membeli barangan keperluan mereka dalam talian.
“Oleh kerana saya sendiri begitu dekat dengan artis, peluang berniaga dalam talian ini turut dibuka kepada golongan seni yang mencari pendapatan sampingan dengan berniaga. Tak ketinggalan usahawan daripada semua golongan boleh turut serta.
“Jika ada sesiapa yang berminat tak kira artis atau golongan masyarakat boleh singgah ke pejabat operasi AsasiMall di No 8B, Jalan Nirwana 1 , Taman Nirwana, Ampang bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Fadzil dalam pada itu, berharap platform dalam talian AsasiMall akan terus menambat hati masyarakat.
“Kami mensasarkan jualan sehingga RM500,000 hingga hujung tahun ini. Mudah mudahan ia dipermudahkan dan sekali gus dapat membantu menyumbang sebahagian daripada keuntungan kepada bekas pelajar Universiti Malaya. Ketika ini ada dalam 5000 ahli berdaftar membabitkan bekas penuntut universiti itu yang secara aktif terbabit dalam dunia niaga
“Untuk membeli barang yang dijual boleh layari www.asasimall.my atau muat turun aplikasi AsasiMall di Google Play atau App Store. Boleh juga ikuti perkembangan di Instagram rasmi @asasimall2020 atau hubungi talian 0196190427,” katanya.
Sementara itu, Che Ta aktif akan melakukan melakukan jualan cuci gudang pada karnival jualan itu. Pelbagai barangan seperti tas tangan, baju Melayu, tudung, shawl dan pakaian preloved milik Che Ta akan dijual dengan harga istimewa. – BERITA HARIAN