Petronas Dagangan Bhd melantik Azureen Azita Abdullah, 47, sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) berkuat kuasa 1 Jun 2024 bagi menggantikan Khalil Jaffri Muhammad Muri, 50.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Petronas Dagangan berkata Khalil Jaffri telah meletak jawatan berikutan mobiliti kakitangan dalam kumpulan PETRONAS.
Khalil Jaffri telah menerajui jawatan itu sejak 1 September 2022.
Peruncit dan pemasar produk petroleum hiliran itu dalam makluman berasingan berkata, Azureen Azita sekarang ini berkhidmat sebagai Pengurus Besar Inovasi dan Digital Hiliran PETRONAS.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Digital Hiliran PETRONAS pada 2021, Pengurus Besar Jualan Runcit dan Operasi Petronas Dagangan pada 2018 serta Ketua Jualan Runcit dan Operasi Petronas Dagangan pada 2016, katanya. -BERNAMA