Dimensi BisnesPilihan Editor

Dutch Lady Catat Untung RM248 Juta

Keuntungan bersih Dutch Lady Milk Industries Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 melonjak kepada RM248 juta daripada RM73.36 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020.

Perolehan turut meningkat kepada RM1.13 bilion daripada RM1.10 bilion bagi tempoh yang sama, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Ia menjelaskan, prestasi runcit kukuh yang berterusan serta pembukaan semula ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun kewangan 2021 menaikkan jualan berbanding yang dicatatkan pada suku keempat tahun kewangan sebelumnya.

Walaupun menghadapi cabaran COVID-19 yang berterusan, syarikat mampu beroperasi pada kapasiti penuh dan memacu penembusan pengambilan susu berdasarkan keadaan dan kemampuan, tambahnya.

Menurut Dutch Lady, bagi suku keempat tahun kewangan 2021, keuntungan operasi adalah amat tinggi, didorong penyelesaian penjualan tanah dan kemudahan pembuatan yang berkaitan di Petaling Jaya, Selangor.

“Keuntungan sampingan ini sebahagiannya diimbangi oleh susut nilai ketara bagi aset sedia ada yang tidak akan dipindahkan ke tapak baharu di Bandar Baru Enstek (yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan).

Mengenai prospek, Dutch Lady menambah pihaknya mahu melabur di Malaysia walaupun dalam tempoh sukar ini.

“Pada 2020, kami mengumumkan rancangan untuk melabur RM400 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk aktiviti pembuatan masa depan kami.

“Dutch Lady akan terus menumpukan usaha pengoptimuman aliran tunai syarikat untuk menangani cabaran inflasi dan memperoleh pendanaan mencukupi untuk kemudahan pembuatan baharu kami,” jelasnya.

Menurutnya, bagi jangka masa panjang, unjuran terhadap Dutch Lady kekal positif, disokong oleh kekukuhan jenama, selain keperluan dan kesedaran yang semakin meningkat mengenai nilai kebaikan dan nutrisi susu dalam kalangan rakyat Malaysia. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close