Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Harga Proton S70 Dijangka Lebih Murah Berbanding X50

Proton Holdings Bhd (PROTON) dijangka menetapkan harga model sedan serba baharunya, Proton S70 lebih rendah berbanding model X50 yang bermula pada harga RM86,000.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah, berkata harga Proton S70 juga dijangka lebih rendah berbanding pesaing segmen B terkemuka seperti Honda City dan Toyota Vios yang dijual dalam lingkungan harga RM85,000 hingga RM90,000.

“PROTON akhirnya berhenti mengeluarkan Proton Exora, dan hal ini menandakan penamatan pengeluarannya selama 14 tahun. Akan tetapi, PROTON telah mula mengeluarkan model S70 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Walaupun tarikh pelancaran rasmi belum diumumkan, PROTON telah mula menerima tempahan untuk model ini. S70 dipasarkan sebagai model segmen C, dan kami percaya kemasukannya ke dalam pasaran akan menimbulkan persaingan lebih sengit dalam segmen ini.

Media melaporkan, PROTON dijangka melancarkan Proton S70 tidak lama lagi.

Model sedan serba baharu itu dijangka ditawarkan dengan empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X.

Model segmen B dengan penawaran ciri segmen C itu dijangka menggunakan enjin pengecas turbo 1.5 liter yang digabungkan dengan transmisi 7-kelajuan dwi-klac yang menghambur 150PS dan tork 226Nm.

Sementara itu, Syahril berkata, kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan (CKD) dijangka diperkenalkan menjelang 2025.

Katanya, dengan menyasarkan kemajuan dalam sektor EV, kerajaan telah menetapkan sasaran 2025 bagi pengeluar kereta kebangsaan, iaitu PROTON dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) untuk mengeluarkan tawaran EV pertama mereka.

“Perkara ini sejajar dengan sasaran PROTON untuk melancarkan EV buatan tempatan pertamanya menjelang 2025 manakala PERODUA belum menetapkan garis masa.

“Hal ini juga menandakan harga lantai RM100,000 buat EV import sepenuhnya (CBU) mungkin terus berkuat kuasa sehingga 2025, demi memberi laluan kepada pengeluar kereta tempatan untuk bersaing dengan jenama antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, RHB Investment berkata, bank pelaburan itu kekal NEUTRAL dengan sektor automotif tempatan berdasarkan prestasi 2024 yang tidak menentu kerana gambaran sektor masih samar-samar.

“Kami masih sedang memuktamadkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2024, namun kami menjangka ia akan menyusut ke paras lebih normal, mungkin dalam lingkungan 600,000 hingga 650,000 unit.

“Risiko negatif utama termasuklah tempahan dan penghantaran kereta lebih rendah daripada yang dijangkakan, dan juga kemunculan isu rantaian bekalan semula. Kejadian yang sebaliknya mendatangkan risiko positif,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close