GovernansMalaysiaPilihan Editor

BELANJAWAN 2024 BAKAL RANCAKKAN EKONOMI DIGITAL DAN MELONJAKKAN MALAYSIA KE SEMPADAN DIGITAL BAHARU

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyambut baik mandat Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil berhubung pengumuman Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ seiring dengan misi MDEC untuk pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif, saksama dan mampan.

Ini sekali gus mengukuhkan komitmen MDEC bagi terus memacu inisiatif yang sedang berlangsung dan akan datang dalam mendemokrasikan akses ekonomi digital untuk rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjangkakan 2024 sebagai tahun yang bakal melonjakkan perkembangan ekonomi serta pemerkasaan landskap digital.

Malaysia telah muncul sebagai hab Asia Tenggara untuk peneraju industri pembangunan permainan apabila syarikat atau studio permainan video antarabangsa gergasi seperti Sony Playstation, Larian Studios, Codemasters Studios dan Bandai Namco telah mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan digital global.

Peruntukan awal sebanyak RM20 juta bagi merintis penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan satu penanda aras ke arah memupuk bakat pembangunan AI dan penghasilan kandungan digital.

Insentif peruntukan sebanyak RM30 juta pula, menjadi pemangkin kepada pembangun permainan global yang berpangkalan di Malaysia sekali gus dapat menggalakkan penciptaan harta intelek (IP) tempatan baharu.

Tambahan sebanyak RM60 juta yang diperuntukkan untuk Dana Kandungan Digital khusus membantu mempromosikan IP tempatan agar dapat merangsang pertumbuhan industri kreatif untuk berkembang dengan lebih pesat.

Ketika dunia semakin rancak menuju ke era digital, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) harus menerimaguna teknologi dan inovasi baharu supaya dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan.

MDEC mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM165 juta bagi memperkukuhkan industri PMKS melalui inisiatif seperti geran digital, program Shop Malaysia Online untuk perniagaan dalam talian, di samping pemerkasaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

Peruntukan ini juga sejajar dengan matlamat menyeluruh MDEC untuk meningkatkan daya saing melalui automasi dan pendigitalan serta memangkin pertumbuhan perniagaan.

Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diumumkan baru-baru ini, Belanjawan 2024 memperkenalkan langkah komprehensif untuk menyokong syarikat pemula, PMKS dan usahawan dalam usaha mendigitalkan perniagaan mereka.

Ini termasuk meningkatkan usaha berterusan dengan pembiayaan peralatan, geran sepadan, sokongan pembiayaan, pembangunan keupayaan dan program bimbingan untuk memacu penggunaan digital.

Penambahbaikan strategik ini turut melengkapkan rangka kerja sokongan NIMP 2030 yang menampilkan insentif cukai untuk syarikat pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi malah mekanisme pembiayaan untuk pelabur antarabangsa dalam sektor pembuatan dan elektrik dan elektronik akan melonjakkan peluang kerjaya dalam sektor ekonomi digital.

Malaysia bakal menjadi kuasa ekonomi digital serantau dan akan terus berusaha meningkatkan daya saing hingga ke peringkat antarabangsa.

Tumpuan kepada inovasi dan ekonomi digital dalam Belanjawan 2024 ini juga telah mencerminkan komitmen Malaysia terhadap perjalanan transformatif ini. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close