PRO-NET, anak syarikat PROTON, sudah menghantar unit ke-1,000 model e.MAS 7, justeru mencerminkan pertumbuhan pesat pasaran EV di Malaysia serta membuktikan keyakinan pengguna terhadap jenama nasional dalam segmen mobiliti elektrik.
Model EV pertama keluaran PROTON itu mendapat sambutan luar biasa sejak pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan lebih 4,500 tempahan diterima setakat ini.
PRO-NET yakin angka itu bakal mencecah 6,000 dalam tempoh terdekat, didorong oleh lanjutan pakej kuasa pelancaran khas yang menawarkan harga eksklusif kepada pembeli awal.
Kejayaan ini tambahnya, turut disokong oleh faktor harga yang kompetitif, praktikaliti serta ekosistem menyeluruh yang membantu pemilik EV menyesuaikan diri dengan teknologi baharu ini.
Berdasarkan kajian pengguna, 58 peratus pembeli menyatakan e.MAS 7 menawarkan nilai yang berbaloi, manakala 51 peratus menghargai ruang kabin yang luas serta kesesuaian untuk kegunaan harian. Selain itu, 38 peratus tertarik dengan ciri keselamatan canggih termasuk sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2, sementara 39 peratus menyatakan bahawa Peta Pengecasan Langsung yang menyediakan akses kepada lebih 2,000 stesen pengecasan di seluruh negara menjadi faktor utama dalam pemilihan kenderaan.
“Seiring dengan perkembangan industri, lebih ramai rakyat Malaysia mula menyedari kepentingan peralihan kepada EV bukan sahaja dari segi kelestarian alam sekitar, tetapi juga sebagai pilihan yang lebih ekonomik dan praktikal,” kata kenyataan itu. – BH ONLINE